September 01, 2010
Melayu perlu tegas - Khairy
KOTA BHARU 1 Sept. - Orang Melayu perlu bertindak tegas dan bersatu padu bagi memastikan tidak ada individu seperti Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee yang berani serta terus menerus mengeluarkan kenyataan menghina mereka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Nawemee berani bertindak sedemikian kerana orang Melayu terlalu bertolak ansur walaupun mereka dihina berkali-kali.

Pada masa yang sama, beliau menolak sama sekali dakwaan pihak tertentu bahawa isu tersebut sengaja dipolitikkan oleh UMNO untuk meraih sokongan atau orang Melayu terlalu sensitif apabila diusik dengan kenyataan yang keras.

"Sebenarnya orang Melayu terlalu bertolak ansur dan bila penghinaan itu terlalu jelas dan nyata sudah tiba masanya mereka yang buat begitu dikenakan tindakan tegas.

"Sudah sampai masanya perkara seperti ini dihentikan, sebagai contoh Namewee tidak pernah serik-serik menghina orang Melayu walaupun diberikan pengampunan dan peluang sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan 'Colek' di rumah Naib Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Rosmadi Ismail di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pemuda UMNO negeri, Anuar Safian dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh.

Terdahulu pada sebelah petang di Tanah Merah, beliau bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Almidi Jaafar serta kepimpinan sayap tersebut menziarahi empat keluarga yang daif untuk menghulurkan bantuan sebelum berbuka puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah merah I.

Sebelum ini, akhbar menyiarkan desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya melucutkan kerakyatan Meng Chee ekoran perbuatannya menghasilkan klip video terbaru yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Bekas penuntut pengajian komunikasi massa Universiti Ming Chuan, Taiwan itu dipercayai menghasilkan klip video tersebut bertujuan mengutuk seorang pengetua Melayu di sebuah sekolah menengah di Kulaijaya, Johor yang didakwa mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolah pada 12 Ogos lalu.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kes Namewee juga menafikan tuduhan bahawa hanya orang Melayu sahaja rasis apabila pemuda tersebut mengeluarkan kenyataan yang lucah dan menghina orang Melayu.

"Orang akan lihat setiap kali isu perkauman biasanya kenyataan dibuat oleh orang Melayu kepada bukan Melayu tetapi kes ini membuktikan bahawa kita perlu juga melihat di sebelah sana (bukan Melayu).

"Di negara ini kita perlu sensitif untuk menjaga keharmonian supaya keamanan yang dikecapi hari ini sentiasa kekal," katanya.

Sementara itu, beliau meminta pihak polis supaya menjalankan siasatan secepat mungkin kerana tindakan Namewee itu sesuatu yang sukar diterima oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kalau ada ucapan berbaur perkauman daripada sesiapa sahaja, polis dan juga pihak pendakwa raya perlu bertindak cepat kerana jika tidak akan menimbulkan kemarahan pelbagai pihak seolah-olah tidak ada tindakan.

"Pemuda UMNO berharap polis tidak ambil masa yang terlalu lama untuk siasat perkara yang sensitif kerana ia boleh mengakibatkan kesan yang lebih teruk," katanya.

(Source: Utusan Malaysia)
.
 
 
ARCHIVED POSTS
.
Sep 01, 10
Melayu perlu tegas - Khairy
.
Sep 01, 10
Isu Namewee perlu jadi pengajaran pada semua - Khairy
.
Sep 01, 10
Pas terhegeh-hegeh jaga hati DAP - Khairy
.
August 2010 (17)
July 2010 (26)
June 2010 (23)
May 2010 (9)
April 2010 (36)
March 2010 (28)
February 2010 (20)
January 2010 (26)
Year 2009
Year 2008