Saya dan seluruh barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
peringkat nasional dan negeri dengan ini menutur Selawat dan Salam ke
atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dan mengucapkan selamat
menyambut hari kelahiran Baginda kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Sesungguhnya sambutan bagi meraikan Maulidur Rasul memberi ikhtibar serta ingatan bagi kita untuk terus menghayati sunnah Rasulullah SAW dengan penuh iltizam sebagai pedoman di dalam mencapai kejayaan dan kebahagian hidup yang diredhai oleh Allah SWT. Ini kerana Baginda Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik bagi setiap muslim dengan sifat-sifat kenabian Baginda iaitu Sidiq (benar), Amanah, Tabligh (menyampaikan) serta Fatanah (bijaksana) di dalam segala segi dan ehwal kehidupan samaada sebagai seorang pemimpin masyarakat, ketua keluarga, suami mahupun sahabat.
Cabaran masa kini yang mendepani umat Islam begitu besar dan dari pelbagai penjuru. Justeru, umat Islam harus terus berusaha gigih bagi menjadi umat yang terbaik di era globalisasi ini dan tidak hanya dibayangi oleh keunggulan ketamadunan masa lampaunya. Untuk itu, selain daripada pemantapan akidah dan ibadah Fardu A’in, masyarakat Islam seluruhnya perlu meningkatkan lagi penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi serta pemerkasaan ekonomi agar tidak dibelenggu kemiskinan dan kemunduran pemikiran yang membataskan kemajuan dan pencapaian umat.
Selamat meraikan sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijriah.