KUALA LUMPUR 12 Feb. - Keputusan Ahli Parlimen
Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada Parti
Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim
memimpin parti itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata,
sikap Anwar yang tidak mempedulikan kritikan oleh beberapa wakil rakyat
PKR termasuk Zahrain terhadap sekutunya, DAP menyerlahkan kepincangan
itu.
"Saya rasa sebab Anwar lebih suka menjaga hubungan politik (dengan DAP), jadi dia tidak berani buat apa-apa.
"Akhirnya yang mengkritik dengan sendirinya akan keluar parti, saya
yakin penghijrahan Zahrain ini akan cetuskan penghijrahan lebih ramai
Ahli Parlimen PKR," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zahrain yang merupakan bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang
mengumumkan menjadi Ahli Parlimen Bebas pada sidang akhbar di Petaling
Jaya, pagi ini.
Mengulas lanjut, Khairy tidak menolak kemungkinan keputusan Zahrain
itu didorong krisis keyakinan terhadap Anwar selepas pertuduhan
liwatnya mula dibicarakan di mahkamah.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
dalam kenyataannya mengucapkan syabas kepada Zahrain atas keberaniannya
keluar parti kerana menolak kepimpinan diktator Ketua Menteri, Lim Guan
Eng.
"Kerajaan pembangkang yang 'hangat-hangat tahi ayam' diketuai oleh
seorang diktator DAP di Pulau Pinang ditolak rakyat kerana mereka sedar
penganiayaan sedang berlaku.
"Terkini sandiwara dan belang Guan Eng jelas apabila kerajaan beliau
tidak membenarkan dan menolak program perarakan Maulidur Rasul yang
menjadi tradisi orang Islam," katanya.
Di Kuching, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, keputusan Zahrain meninggalkan PKR adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan.
Katanya, tindakan Zahrain itu menunjukkan beliau yakin dengan dakwaannya terhadap masalah kepimpinan dalam pakatan pembangkang.
''Saya yakin tindakan beliau akan diikuti lebih ramai penyokong
pakatan pembangkang yang tidak berpuas hati dan kecewa dengan
kepemimpinan serta perjuangan parti berkenaan," katanya
Dalam pada itu, Ahmad berkata, UMNO sentiasa bersikap terbuka dalam
menerima kemasukan bekas ahli serta pemimpin pembangkang untuk
menyertai parti itu.
(Source: Utusan Malaysia)