KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pemuda Barisan Nasional (BN) Rabu
menyerahkan memorandum menyatakan kemarahan rakyat Malaysia terhadap
tindakan 50 anggota Parlimen Australia yang jelas ada niat untuk campur
tangan dalam hal ehwal sistem kehakiman di negara ini.
Ketua
Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata memorandum itu menuntut agar
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar Negeri Parlimen Australia
Michael Danby menarik balik surat yang dihantar oleh 50 anggota
parlimen negara itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia
serta satu permohonan maaf daripada Danby bagi pihak 50 anggota
Parlimen itu.
Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata
memorandum itu juga menggesa agar Perdana Menteri Australia Kevin Rudd
menyatakan dengan jelas bahawa pendirian kerajaan Australia tidak sama
dengan pendirian 50 anggota Parlimen negara itu.
"Malaysia
adalah negara yang berdaulat. Dengan adanya keluhuran perlembagaan dan
kedaulatan undang-undang, kita tidak terima langsung apa saja usaha,
apa saja tindakan yang kita anggap sebagai campur tangan daripada pihak
Australia, luar negara dan asing dalam hal ehwal negara kita," katanya
kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada Pesuruhjaya
Tinggi Australia Penny Williams di sini hari ini.
Dalam
pertemuan kira-kira 15 minit itu, Khairy berkata Williams telah memberi
jaminan bahawa kerajaan Australia tidak ingin campur tangan dalam
sistem kehakiman Malaysia dan tidak mahu membuat satu pengadilan
terlebih dahulu tentang perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya,
Pesuruhjaya Tinggi Australia itu juga memberi jaminan bahawa memorandum
Pemuda BN yang mewakili NGO belia yang ada akan disampaikan kepada
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia di Canberra.
"Walaupun
ini tidak datang dari kerajaan Australia, tapi kita menganggap ini
adalah serius sebab 50 anggota Parlimen itu menjadi wakil rakyat kepada
Australia.
"Kita tidak mahu isu ini dipolitikkan di Australia
sehingga mencetuskan satu keadaan di mana campur tangan itu lebih
ketara daripada apa yang kita lihat dua tiga hari lepas," katanya.
Turut
sama mengiringi beliau adalah Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali
Ibrahim, Ketua Pemuda MIC T.Mohan dan Ketua Penerangan Pemuda BN Datuk
Reezal Merican.
Kira-kira 500 orang terdiri daripada Pemuda
Umno, Pemuda MIC dan anggota NGO belia menyertai perarakan aman yang
bermula daripada sebuah restoran di Jalan Yap Kwan Seng.
Makkal
Sakhti turut menyerahkan memorandum sebagai bantahan terhadap campur
tangan itu dengan Presidennya R.S. Thanenthir berkata akan ada lebih
banyak bantahan jika Angota Parlimen Australia itu tidak menghentikan
campur tangan dalam sistem kehakiman Malaysia.
"Kami mahu
memastikan mereka melakukan ini buat kali terakhir. Kami akan terus
bantah jika mereka tidak berhenti di sini. Ini ingatan keras kepada
semua Anggota Parlimen Australia," katanya.
Dalam memorandum
mereka, Makkal Sakhti menggesa Anggota Parlimen Australia supaya
menahan diri mereka daripada terus campur tangan kerana rakyat Malaysia
tidak campur tangan dengan urusan undang-undang dan mahkamah Australia.
"Kami
sentiasa menghormati dan menghargai hubungan baik dengan negara anda
dan kami tidak ingin merosakkan hubungan yang sedia terjalin," katanya.
Sementara
itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional
(BNBBC) Datuk Bung Muktar Radin berkata anggota Parlimen BN bersedia
bertemu dengan mana-mana anggota parlimen dari negara luar untuk
menjelaskan isu perbicaraan Anwar itu.
Katanya, tuduhan terhadap
Anwar dilakukan oleh individu iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, bukannya
dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia.
"Kita meminta dengan
sekeras-kerasnya. Mereka tidak ada hak mencampuri negara Malaysia.
Mana-mana pihak yang cuba mencampuri, kita akan memberi tentangan yang
tidak ada hentinya. Kita adalah negara berdaulat.
"Mana-mana
pihak berhak untuk menyuarakan (pendapat), tapi pada kita apa yang
dikatakan ialah tempat dan masa yang salah," katanya.
Beliau
yang mewakili seramai 140 anggota Parlimen BN tiba diperkarangan
pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia kira-kira 11.05 pagi untuk
menghantar memorandum bantahan tersebut.
Turut sama kelihatan
mengiringi beliau adalah anggota Parlimen Tangga Batu Datuk Idris
Haron, Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad dan Arau Datuk Ismail Kassim.
-- BERNAMA