February 17, 2010
Pemuda Ditugaskan Cungkil Idea Generasi Muda
PUTRAJAYA, 17 Feb (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Umno akan mengadakan perjumpaan dengan golongan muda untuk mendapatkan idea mengenai isu-isu semasa, serta harapan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu diminta berbuat demikian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar idea dan harapan golongan muda dapat disampaikan dan seterusnya diambil tindakan oleh kerajaan.

"Zaman kerajaan tahu segala-galanya dah tamat. Jadi Pemuda Umno ditugaskan untuk mencungkil daripada generasi muda yang tidak semestinya ahli Pemuda, Umno atau Barisan Nasional (BN), apakah permintaan dan harapan mereka daripada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Exco Pemuda Umno mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, di sini Rabu.

Khairy berkata pergerakan itu telah pun melaksanakan usaha tersebut di pelbagai peringkat sebelum ini namun tidak dilaksanakan dengan sistematik sepertimana yang dimahukan Perdana Menteri.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan selepas ini bagi penubuhan sebuah jawatankuasa bagi memantau penubuhan makmal khas mengendali tugasan tersebut dan laporan pertama dijangka dikemukakan dalam masa tiga bulan.

Selain itu katanya, pergerakan itu juga akan melancarkan program Jelajah 1Malaysia Pemuda pada bulan depan bagi menerangkan konsep 1Malaysia kepada golongan pemuda di seluruh negara.

Ditanya sama ada kunjungan itu ada membincangkan mengenai spekulasi pergolakan dalam Pemuda Umno, Khairy berkata isu tersebut tidak timbul, selain menegaskan ia merupakan perjumpaan biasa yang membincangkan mengenai halatuju pergerakan itu dalam membantu rakyat terutama generasi muda dan bukannya perjumpaan untuk menyelesaikan kemelut dalaman pergerakan.

"Dari segi politik Datuk Seri Najib berpuas hati dengan hala tuju Pemuda pada hari ini dan beliau tekankan bahawa perpaduan itu penting bukan sahaja dalam Pemuda tetapi di kalangan seluruh parti Umno dan BN," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perbezaan pendapat dan pandangan adalah perkara biasa memandangkan beliau menerajui parti politik yang mempunyai kira-kira 700,000 anggota, namun sebagai ketua, perbezaan pendapat harus diterima dan memperbaiki segala kelemahan.

-- BERNAMA
.
 
 
ARCHIVED POSTS
.
Sep 01, 10
Melayu perlu tegas - Khairy
.
Sep 01, 10
Namewee berani kerana Melayu terlalu bertolak ansur
.
Sep 01, 10
Let Namawee Issue Be A Lesson For All - Khairy
.
Sep 01, 10
Isu Namewee perlu jadi pengajaran pada semua - Khairy
.
Sep 01, 10
Pas terhegeh-hegeh jaga hati DAP - Khairy
.
August 2010 (24)
July 2010 (24)
June 2010 (19)
May 2010 (5)
April 2010 (18)
March 2010 (15)
February 2010 (12)
January 2010 (20)
Year 2009
Year 2008