KUALA LUMPUR 2 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO bersetuju isu royalti
minyak Kelantan dibawa ke mahkamah seperti yang diluluskan oleh Sidang
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan melalui satu usul tergempar
semalam.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah tersebut
disifatkan sebagai paling baik memandangkan isu berkenaan telah
menimbulkan keraguan dari segi tafsiran.
‘‘Kami di Pemuda faham
mengenai isu royalti minyak Kelantan ini dari A hingga Z yang mana kami
bersependapat dengan Kerajaan Pusat iaitu Akta Petroleum 1974 hendaklah
dibaca bersekali dengan Ordinan Darurat dalam kita menafsirkan mengenai
isu royalti minyak.
‘‘Bagaimanapun kerajaan Kelantan tidak
menerima fakta tersebut dan bagi menyelesaikan isu tersebut Pemuda
bersetuju ia dibawa ke mahkamah. Biarlah mahkamah membuat penentuan,’’
katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat Pemuda di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan
DUN Kelantan meluluskan usul tergempar untuk memberi mandat kepada
Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan (MMK) bagi mengambil tindakan
mahkamah berhubung tuntutan royalti minyak.
Usul tersebut
dikemukakan oleh Abdullah Ya’akub (Pas-Air Lanas) dan ia mendapat
persetujuan sebulat suara 45 ahli termasuk anggota pembangkang walaupun
hanya memerlukan sokongan daripada anggotanya untuk membahaskan usul
berkenaan.
Ketika ditanya mengenai pendirian Tengku Razaleigh
Hamzah berhubung isu tersebut, Khairy berkata, pendirian politik Tengku
Razaleigh jelas iaitu beliau masih sayangkan dan masih setia dengan
perjuangan UMNO.
‘‘Dari segi pendirian politik tidak ada masalah
cuma dalam isu royalti minyak ada sedikit perbezaan dengan pucuk
pimpinan parti yang lain.
‘‘Dengan kata lain perbezaan Tengku
Razaleigh hanya berkaitan dengan isu dan bukannya melibatkan asas
perjuangan parti,’’ katanya lagi.
Sementara itu beliau berkata,
mesyuarat hari ini telah bersetuju mewujudkan Makmal Pemuda Barisan
Nasional (BN) yang antara lain bertujuan mengenal pasti isu-isu penting
orang muda di negara ini.
‘‘Di samping itu makmal ini juga bakal
mencari dan mengusahakan titik sentuhan kepada golongan belia pada
setiap dasar, program dan pengumuman yang dibuat oleh pihak kerajaan
khas untuk golongan belia.
‘‘Kami telah memberi komitmen kepada
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kami akan
menyerahkan laporan terperinci mengenai rumusan makmal ini dalam tempoh
tiga bulan,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata,
diharapkan dalam tempoh terdekat ini makmal tersebut mampu mengumpul
seberapa banyak maklumat dan pandangan di samping menguji kesesuaian
terhadap semua idea sebelum pembentangan kepada Perdana Menteri
dilakukan.
(Source: Utusan Malaysia)