KUALA LUMPUR 13 Mac - Pemuda Barisan Nasional (BN) akan melancarkan
program Rally 1Malaysia pada 17 April nanti bagi mendidik dan menarik
lebih ramai generasi muda menghayati konsep 1Malaysia.
Pengerusinya,
Khairy Jamaluddin berkata, program yang bakal dilangsungkan di Stadium
Nasional itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak.
"Penyertaan nanti terbuka kepada semua generasi muda tanpa
mengira latar belakang bagi mendidik mereka mengenai konsep 1Malaysia.
"Walaupun
konsep 1Malaysia telah diterima baik khususnya oleh golongan muda
tetapi program seperti ini penting bagi memastikan semangat tersebut
sentiasa subur,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang
media selepas merasmikan mesyuarat Pemuda BN di Wisma MCA, di sini hari
ini.
Menurut Khairy, pada pelancaran program Rally 1Malaysia itu
nanti, pihaknya juga akan melancarkan satu lagi program susulan iaitu
Jom One Malaysia.
Jelasnya, Jom One Malaysia merupakan program
jelajah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi memperkenalkan
lagi konsep 1Malaysia khusus kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Dalam
perkembangan berasingan, Khairy berkata, keputusan kerajaan untuk tidak
membentangkan bacaan kali kedua dan ketiga Rang Undang-Undang Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah bagi memberi lebih banyak masa
untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai cukai tersebut secara tepat.
"Kita
melihat masih ramai rakyat yang tidak memahami dengan jelas apa itu GST
dan pada masa yang sama juga, isu ini menjadi modal kepada pembangkang
untuk memfitnah kerajaan," katanya.
(Source: Utusan Malaysia)