April 05, 2010
Rosmah deklamasi puisi Menapak Ke Puncak
KUALA LUMPUR 5 April - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor malam ini menyertai tokoh-tokoh korporat negara mendeklamasi sajak pada Malam Puisi Korporat Prihatin 1Malaysia untuk mengisi Tabung Biro Ekonomi Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO.

Rosmah mendeklamasikan puisi nukilan Rahman Shaari bertajuk Menapak Ke Puncak yang berkisar mengenai usaha mencapai 1Malaysia pada majlis anjuran biro berkenaan bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Majlis yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) bertemakan Kemanusiaan dan Prihatin Kepada Masyarakat itu berjaya mengumpulkan RM90,000 untuk membantu rumah-rumah kebajikan serta mengurangkan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat negara luar.

Antara tokoh korporat yang bersama-sama mendeklamasikan puisi ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah; Ketua Pegawai Eksekutif Celcom (M) Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly dan Presiden Universiti Teknologi Lim Kok Wing, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing.

Turut mendeklamasikan puisi ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Maznah Rais serta Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Rosmah dalam kata-kata aluan di dalam buku cenderamata menyatakan, puisi sebenarnya merupakan suara kemanusiaan dan dari segi tema ia mendukung tema kekeluargaan, pendidikan serta percintaan yang kesemuanya ditunjangi oleh rasa kemanusiaan.

Kata beliau, kini puisi menumpukan perhatian terhadap tema korporat prihatin.

"Kita dapati, amatlah sukar untuk mendapatkan tema khas sedemikian, namun secara umum kita dapat melihat dan merasakan bahawa golongan korporat mempunyai minat untuk memperjuangkan puisi dan kesenian secara keseluruhannya," katanya.

Rosmah memberitahu, beliau amat gembira kerana dapat menyertai majlis ini kerana tanggapan dan pandangan umum golongan korporat tidak mempedulikan arena sastera dan budaya terutama bidang puisi.

Tambah beliau, bidang puisi dianggap bidang khusus untuk golongan penyair dan juga para peminat sastera yang terdidik dalam aspek-aspek kesenian puisi.

"Anggapan yang dinyatakan tadi adalah silap, malah dapat dikatakan palsu, yang sebenarnya puisi untuk semua di Malaysia.

"Sejumlah sarjana yang terdidik dalam bidang sains, pergigian, ekonomi dan lain-lain meminati puisi, malah ada yang menghasilkan buku-buku puisi serta aktiviti puisi bersemarak di mana-mana tidak hanya tertumpu di institusi yang berkaitan dengan kesusasteraan serta kebudayaan," tegasnya.

Rosmah berharap majlis seperti ini diteruskan kerana ia akan membantu menyegarkan dunia puisi dan memperkukuhkan kesedaran sosial di kalangan golongan korporat.

(Source: Utusan Malaysia)
.
 
 
ARCHIVED POSTS
.
Sep 01, 10
Melayu perlu tegas - Khairy
.
Sep 01, 10
Namewee berani kerana Melayu terlalu bertolak ansur
.
Sep 01, 10
Let Namawee Issue Be A Lesson For All - Khairy
.
Sep 01, 10
Isu Namewee perlu jadi pengajaran pada semua - Khairy
.
Sep 01, 10
Pas terhegeh-hegeh jaga hati DAP - Khairy
.
August 2010 (24)
July 2010 (24)
June 2010 (19)
May 2010 (5)
April 2010 (18)
March 2010 (15)
February 2010 (12)
January 2010 (20)
Year 2009
Year 2008