KUALA LUMPUR 7 April - Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan saksi sebagai bukti
bagi menguatkan tuduhannya terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang
kononnya bekerjasama dengan perisik Israel.
Ketuanya, Khairy
Jamaluddin berkata, jika Anwar seorang pemimpin yang berani membuat
sesuatu dakwaan, beliau juga perlu berani untuk tampil bersama
pihak-pihak yang mempunyai kaitan dengan tuduhan itu.
''Kita
cabar beliau buktikan perkara itu, kalau ada saksi sila bawa saksi, dan
beliau juga diminta buat satu memorandum bagi menyiasat kes tersebut,''
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau
mengulas tindakan Anwar semasa sesi perbahasan di Parlimen semalam yang
sekali lagi mengaitkan penglibatan syarikat Israel dalam pengendalian
projek berkaitan keselamatan dan komunikasi serta teknologi maklumat di
ibu pejabat polis, Bukit Aman.
Menurut Khairy, Anwar perlu
menyahut cabaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kerana tuduhan
itu merupakan perkara yang serius.
''Kalau dakwaan itu betul,
saya yakin sebelum ini telah ramai pegawai polis yang tampil kehadapan
bagi menyelesaikan perkara tersebut,'' katanya.
Sementara itu
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee pula berkata,
dakwaan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebenarnya berniat jahat untuk
memberikan gambaran kepada dunia bahawa Malaysia menjalin hubungan sulit
dengan Israel.
Katanya, Anwar berani membuat tuduhan itu di
Parlimen ekoran beliau menggunakan kekebalan Ahli Parlimen untuk
melindungi dirinya kerana mengemukakan kenyataan semasa sesi perbahasan.
''Jika
Anwar mempunyai bukti dan fakta lengkap, sepatutnya dia melaporkan
kepada polis dan bukannya membuat kenyataan semasa perbahasan di
Parlimen.
''Persoalan ini perlu disiasat dan Anwar sendiri pun
dikatakan mempunyai hubungan akrab dengan beberapa pemimpin dunia
termasuk daripada kalangan Yahudi,'' jelasnya.
Dalam pada itu,
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA),
Mohd. Jamil Mohd. Hassan berkata, beliau sama sekali tidak mempercayai
dakwaan Anwar itu.
Beliau berpendapat bahawa pasukan PDRM boleh
beroperasi dengan cemerlang atau berdiri dengan sendiri tanpa bantuan
mana-mana perisik.
''Tuduhan yang dilemparkan oleh Anwar itu satu
perkara yang sangat serius. Ia harus ditangani segera,'' katanya.
(Source:
Utusan Malaysia)