KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pihak- pihak dalam Barisan Nasional
(BN) yang mengugut untuk keluar parti jika tidak dipilih menjadi calon
diminta supaya menghentikan perbuatan itu demi kepentingan dan
keharmonian parti.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata
ugutan seumpama itu boleh disifatkan bukan hanya ditujukan kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN bahkan
kepada keseluruhan parti.
"Saya rasa tidak senang bila ada ugutan
kepada BN, apabila ada ugutan kata kalau calon ini tidak dipilih parti
ini akan keluar, parti ini akan boikot, parti ini akan tutup bilik
gerakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Rabu.
Khairy,
yang juga Pengerusi Pemuda BN, berkata semua pihak sewajarnya menunggu
pengumuman penamaan calon BN untuk kerusi Hulu Selangor bagi pilihan
raya kecil di situ 25 April ini, dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.
"Saya yakin siapa sahaja yang
dipilih, yang pasti (calon) adalah dari MIC. Yang pasti adalah yang kita
janji melalui formula BN akan kita pertahankan, maknanya kerusi ini
ialah kerusi MIC," katanya.
Beliau berharap khabar angin kononnya
ada bahagian yang akan menutup bilik gerakan dan memboikot pilihan raya
kecil itu terbabit tidak berulang pada masa-masa akan datang.
"Cuma
maklumat balas sebagai Pengerusi Pemuda BN adalah pengundi di situ mahu
calon tempatan dan seorang calon muda. Dulu saya kata calon yang mesra
kepada orang muda, lebih tepat lagi mereka nak calon muda dan saya harap
calon muda diletakkan di situ," katanya.
Ketika ditanya
kemungkinan berlaku kesan negatif sekiranya calon yang diletakkan tidak
memenuhi hasrat pengundi dan Pemuda BN, Khairy berkata adalah penting
untuk ahli BN menyokong siapa sahaja yang ditampilkan sebagai calon BN
di Hulu Selangor.
"Yang penting perpaduan dan setiakawan BN kita
kekalkan," katanya.
-- BERNAMA