KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kerajaan sedang dalam pertimbangan
untuk mengikat pembukaan pasaran bagi 27 subsektor perkhidmatan di dalam
perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Kerangka Kerja Asean
Mengenai Perkhidmatan (AFAS) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),
Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.
Timbalan Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata langkah
tersebut bertujuan memberi lebih keyakinan kepada pelabur asing
memandangkan komitmen yang mengikat akan memberi syarat kepastian kepada
rakan dagang.
"Isyarat kepastian ini adalah bahawa negara tidak
akan sewenang-wenangnya mengubah dasar pasaran bagi 27 subsektor ini,"
katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini pada
Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khairy
Jamaluddin (BN-Rembau) yang mahu tahu pencapaian dan penambahbaikan yang
telah dicapai 27 subsektor bidang perkhidmatan yang telah
diliberalisasikan pada tahun lepas.
Mukhriz berkata kementerian
telah menerima maklum balas yang menggalakkan daripada pertubuhan dan
dewan perniagaan di luar negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, China,
India dan Singapura mengenai program liberalisasi tersebut.
"Menurut
mereka, langkah Malaysia membuka pasaran 27 subsektor tersebut serta
merta telah memberi isyarat positif mengenai dasar negara untuk menarik
pelabur terutama dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu,"
katanya.
April tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak mengumumkan proses meliberalisasikan serta merta 27 perkhidmatan
subsektor tanpa syarat ekuiti bagi bidang perkhidmatan kesihatan dan
sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan serta komputer dan
perkhidmatan berkaitan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang
kondusif untuk menarik pelaburan, teknologi dan mewujudkan peluang
pekerjaan bernilai tinggi.
Mengenai impak dari segi pelaburan
pelaburan asing dalam subsektor tersebut, Mukhriz berkata masih awal
untuk dinilai kerana keputusan untuk melabur biasanya memerlukan
perancangan jangka panjang.
"Bagaimana pun, setakat ini pelaburan
dalam sektor perkhidmatan melibatkan projek-projek seperti taman tema
adalah berjumlah RM 1.1 bilion dan perkhidmatan pelancongan berjumlah RM
17.3 bilion," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan
anggota yang sama mengenai pusingan kedua proses liberalisasi, Mukhriz
berkata pihaknya masih dalam proses mengenal pasti subsektor yang akan
memberi impak terbesar.
"Kementerian hendak lihat supaya
subsektor terlibat dapat membantu pertumbuhan ekonomi dan tidak
menjejaskan industri tempatan terutama industri Bumiputera.
"Berbanding
27 subsektor sebelum ini, kali ini kementerian akan berunding lebih
khusus dengan syarikat-syarikat luar terutama yang terlibat dengan
subsektor yang belum diliberalisasi supaya selepas diumumkan pendekatan
baru ini, mereka akan terus membuat pelaburan besar," katanya.
Sambil
mengakui terdapat penurunan pelaburan dalam sektor perkhidmatan pada
tahun lepas, beliau berkata punca utama penurunan tersebut adalah kerana
iklim pelaburan dunia yang agak perlahan pada masa itu.
"Pada
pusingan pertama tahun lepas, pelaburan asing dalam perkhidmatan menurun
kepada RM38.8 bilion berbanding RM59.7 bilion tahun 2008. Pelaburan
domestik pula menurun daripada RM77.2 bilion pada 2008 kepada RM63.6
bilion tahun lepas," katanya.
-- BERNAMA