April 17, 2010
Johan, Chandran Akan Dipecat Dari Umno Dan MIC
HULU SELANGOR, 17 April (Bernama) -- Kedua-dua calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, Johan Mohd Diah dan V.S.Chandran, masing-masing akan dipecat daripada Umno dan MIC kerana bertanding sebagai calon Bebas.

Ini kerana Johan yang juga AJK Pemuda Umno Shah Alam dan Chandran, bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor akan menentang calon Barisan Nasional (BN) P.Kamalanathan pada pilihan raya kecil kawasan itu yang turut ditandingi Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengikut peraturan Umno, anggota parti tidak boleh menentang calon parti itu.

Usul mengenai pemecatan Johan disahkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda BN ketika dihubungi BERNAMA di sini tengah hari ini.

"Dia akan dipecat daripada parti. Kita akan kemukakan perkara ini kepada Lembaga Disiplin Umno selepas ini," kata Khairy mengulas tindakan Johan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu.

Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau percaya tindakan Johan yang juga seorang peniaga ditaja pihak tertentu untuk memecahkan undi, terutama pengundi Melayu, dan yakin ia tidak akan menjejaskan peluang BN.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Veelu berkata Chandran, yang berkhidmat sebagai naib pengerusi dari tahun 2003 hingga 2009, dan kini digantung setahun, akan dipecat daripada MIC.

Katanya Chandran telah melanggar peraturan dan prinsip parti dengan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil.

"Chandran hanya digantung selama setahun dan masih seorang anggota parti. Kami akan berbincang mengenai isu ini (untuk memecat Chandran) dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan datang," katanya.

"Ini merupakan kesalahan serius. Dalam tempoh setengah tahun, Chandran telah bertindak sehingga menjejaskan parti," kata Samy sambil menambah bahawa ia merupakan bidang kuasanya untuk memeat merekayang melanggar etika dan prinsip parti.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Anggota Parlimen dari PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, pada 25 Mac akibat barah otak.

-- BERNAMA
.
 
 
ARCHIVED POSTS
.
Sep 08, 10
Pemuda UMNO Cadang Kerajaan Panggil Pulang Warga Kedutaan Di Indonesia
.
Sep 07, 10
Sends Strong Message To Indonesia - Umno Youth
.
Sep 07, 10
Wisma Putra diharap tidak lagi berlembut
.
Sep 01, 10
Melayu perlu tegas - Khairy
.
Sep 01, 10
Namewee berani kerana Melayu terlalu bertolak ansur
.
Sep 01, 10
Let Namawee Issue Be A Lesson For All - Khairy
.
Sep 01, 10
Isu Namewee perlu jadi pengajaran pada semua - Khairy
.
Sep 01, 10
Pas terhegeh-hegeh jaga hati DAP - Khairy
.
August 2010 (24)
July 2010 (24)
June 2010 (19)
May 2010 (5)
April 2010 (18)
March 2010 (15)
February 2010 (12)
January 2010 (20)
Year 2009
Year 2008