KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pemuda UMNO mahu pengundi Cina juga
perlu diambil kira dan bukan "dihukum" kerana tidak menyokong Barisan
Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru
ini.
Dari segi perbandingan walaupun sokongan orang Melayu dan
kaum India adalah lebih baik kepada BN di Hulu Selangor, kebanyakan
pengundi Cina sekali lagi memilih untuk mengundi pembangkang.
"Mengesampingkan
masyarakat Cina adalah tidak sihat terutama apabila pegangan BN
terhadap masyarakat utama yang lain tidak akan menjadi mutlak," kata
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin semasa memberikan respons kepada
beberapa cadangan daripada beberapa pihak tertentu bahawa pengundi Cina
perlu diajar dengan menarik balik peruntukan yang dijanjikan kepada
mereka semasa kempen pilihan raya.
"Politik bukan hanya setakat
undi; ia juga mengenai sesuatu yang ideal, prinsip dan melakukan apa
yang betul.
"Saya pasti jika kita terus membantu semua masyarakat
dengan penuh keadilan dan kesaksamaan, persepsinya akan bertambah baik.
Saya percaya ramai yang tidak mengundi kita kekal sinis dan mahu kita
menunaikan janji sebelum menyokong BN, kata Khairy ketika memberikan
respons mengenai trend mengundi yang ditunjukkan pada pilihan raya kecil
Hulu Selangor yang menyaksikan BN menang dengan majoriti 1,725 undi.
Khairy
yakin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan tetap
dengan laluan 1Malaysia dan membawa pembaharuan sehingga semua pengundi
dari pelbagai kaum yakin bahawa perubahan akan terus menjadi kenyataan.
"Saya
tidak sangsi bahawa jika kita terus komited dan menyokong sepenuhnya
perubahan yang dibawa Perdana Menteri, BN akan melihat perubahan yang
positif menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Jadi, kita
mesti ikhlas melaksanakan 1Malaysia, kita tidak boleh meninggalkan
kepimpinan PM yang inklusif, hanya kerana kita tidak melihat satu kaum
masih belum lagi memberikan respons dalam pilihan raya."
Sementara
Hulu Selangor memberikan BN satu peluang untuk memenangi pilihan raya
kecil parlimennya yang kedua sejak pilihan raya umum ke-12, ia merupakan
petanda keutamaan pengundi.
Ketua Pemuda UMNO itu memerhatikan
bahawa BN menunjukkan satu perubahan yang signifikan dalam corak
pengundian pengundi muda di kawasan yang mempunyai majooriti kaum Melayu
dan Inida.
"Dalam pilihan raya kecil ini, BN hanya dapat
memperoleh 28 peratus daripada undi kaum Cina berbanding 37 peratus
semasa pilihan raya umum lalu.
"Dengan memenangi di hampir
kesemua pusat mengundi yang mempunyai majoriti orang Melayu, BN tewas di
hampir kesemua pusat mengundi yang mempunyai majoriti kaum Cina. Kita
(juga) hilang sokongan di kalangan pengundi muda (dari kaum Cina).
"Sebagai
contoh, di Kg Baharu Kalumpang, perbezaan dalam margin kemenangan bagi
PKR dalam "saluran muda" melompat kepada 130 undi. Di Kg Baru Rasa,
majoriti bagi PKR meningkat dengan 241 undi.
"Ini menunjukkan,
antara lain, sokongan (bagi BN) daripada pengundi muda Cina juga
menurun," kata Khairy.
Pada pilihan raya umum 2008, BN hanya
menang di 11 pusat mengundi yang dikategorikan sebagai terdiri
kebanyakannya pengundi muda, manakala PKR menang di 34 pusat mengundi.
Kali ini BN menang 30 dan PKR 23.
Pilihan raya kecil Hulu
Selangor juga menunjukkan bahawa kira-kira 1,329 pengundi muda beralih
menyokong BN berbanding 2008 pada peringkat parlimen.
Khairy
berkata perkembangan ini juga isyarat kepada BN supaya melakukan perkara
yang betul bagi semua rakyat Malaysia.
Walaupun pilihan raya
kecil ini menunjukkan terdapat perubahan ketara dalam rentak pengundian
di kalangan pengundi muda terhadap BN, beliau berkata secara
strategiknya boleh disangsikan jika terus bergantung dengan undi kaum
Melayu dan India.
"Walaupun Hulu Selangor mungkin menampakkan
sokongan kaum Melayu dan India yang lebih baik berbanding pada 2008,
terdapat satu perkadaran yang besar bagi kedua-dua kaum yang menyokong
pakatan pembangkang.
"Tanggapan mengenai perpaduan orang Melayu
sukar difahami, terutama dalam soal pilihan mengundi. Akan sentiasa
wujud perkadaran yang besar daripada 30 kepada 50 peratus dalam
mana-mana kawasan yang akan menyokong pembangkang terutama mereka yang
setia dengan PAS.
"Sementara itu, pengundi kaum India juga telah
menunjukkan kearifan mereka dan semuanya bergantung bagaimana mereka
melihat perubahan dalam MIC dan pelaksanaan janji-janji yang telah
dibuat kepada mereka," kata Khairy.
Baru-baru ini, Setiausaha
Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga berkata bahawa
adalah tidak betul untuk mengesampingkan pengundi Cina di Hulu Selangor
kerana disebabkan trend pengundian.
Beliau berkata bahawa BN,
sebagai parti pelbagai kaum, perlu membantu rakyat tanpa mengira kaum
atau agama.
-- BERNAMA