SEREMBAN, 25 Mei (Bernama) -- Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin pada
Selasa menamatkan latihan sebagai askar Wataniah selepas menjalani
latihan ketenteraan selama sebulan di sekitar Negeri Sembilan dan Johor.
Menurut
Khairy, penyertaannya dalam pasukan simpanan tentera darat itu
semata-mata untuk berkhidmat kepada negara dan bukan disebabkan dorongan
politik.
Bercakap kepada pemberita selepas lulus sebagai askar
Wataniah dalam majlis perbarisan Tamat Kursus Asas Perajurit Muda Siri
1/2010 Rejimen 508 Askar Wataniah, Khairy berkata beliau mempelajari
banyak perkara semasa dalam latihan itu dan berharap dapat menarik
golongan muda tanpa mengira fahaman politik untuk menyertai askar
Wataniah.
Turut hadir menyaksikan Khairy dan seramai 87 orang
dalam skuadnya berbaris ialah mentuanya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan
Tun Jeanne Abdullah.
Khairy berkata walaupun sebelum ini beliau
ditawarkan untuk mendapat pangkat Mejar Kehormat (tanpa proses latihan)
tetapi berpendapat sebagai orang muda dan mempunyai sedikit stamina,
beliau mahu menyertai Wataniah dan turut menjalani latihan tentera.
--
BERNAMA