KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) semalam menghantar memorandum
bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mengutuk
sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel menyerang kapal misi bantuan
kemanusiaan ke Gaza di perairan antarabangsa, di luar pantai Gaza,
kelmarin.
Memorandum yang diserahkan Ketua Pemuda BN, Khairy
Jamaluddin kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon melalui Koordinator
Residen PBB di Malaysia, Kamal Malhotra turut menuntut satu siasatan
bebas dimulakan Majlis Keselamatan itu bagi menyiasat secara terperinci
serangan terhadap kapal yang membawa bekalan makanan, ubat dan bahan
binaan untuk rakyat Palestin.
Khairy berkata, PBB harus tegas
dalam memastikan sebarang usul yang mengutuk dan menyiasat tindakan
rejim Zionis itu dapat dibentangkan tanpa sebarang sekatan oleh ahli
tetap Majlis Keselamatan PBB termasuk Amerika Syarikat, Britain, China,
Russia dan Perancis yang melalui kuasa veto.
“Ini adalah
kesalahan yang secara terang-terangan menyalahi undang-undang
antarabangsa. Israel mesti dibawa ke muka pengadilan dan kita akan
teruskan usaha melobi setiap wakil tetap Majlis Keselamatan PBB supaya
jangan sekali-kali menyebelahi Israel.
“Tindakan terbaru Israel
ini bukan hanya menindas rakyat Palestin, malah membabitkan aktivis
seluruh dunia yang mempunyai misi memberi bantuan, bukan membawa senjata
seperti mana yang menjadi propaganda Israel,” katanya di Wisma PBB, di
sini semalam.
Kira-kira 200 ahli Pemuda BN dan badan bukan
kerajaan (NGO) menyertai perhimpunan menghantar memorandum berkenaan
serta membakar bendera Israel.
(Source: Berita Harian)