KUALA LUMPUR 2 Jun - Beberapa penyokong kerajaan melabelkan pandangan
bahawa Malaysia akan bankrap sebagai keterlaluan.
Mereka menolak
pandangan bahawa Malaysia akan bankrap pada 2019 seperti Greece jika
subsidi berjumlah RM74 bilion setahun tidak dikurangkan dan
menganggapnya sebagai taktik menakutkan.
Mereka berpendapat
perbandingan dengan Greece oleh sesetengah pihak dalam pakatan
pembangkang sebagai tidak kena berdasarkan kurangnya asas analitik yang
dilakukan.
"Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu)
hanya mengejutkan kita supaya tidak hidup di luar kemampuan,'' kata Ahli
Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Samad, ketika mengulas
kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala
mengenai isu bankrap itu baru-baru ini.
"Ia hanya mengejutkan
kita supaya tidak bersikap selesa dan berpuas hati," katanya.
Sambil
menjelaskan mengapa Malaysia tidak akan bankrap seperti Greece, bekas
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu,
membentangkan perbandingan antara kedua-dua negara.
Beliau
berkata, Malaysia memiliki dan mempunyai keupayaan untuk membayar kadar
faedah, tidak seperti kerajaan Greece yang gagal membuat pembayaran
faedah, sekali gus berdasarkan kepercayaan pinjaman, Greece boleh
dianggap sebagai bankrap.
Menurutnya, penjawat awam Greek
mendapat bonus tetap dua bulan dan mereka menyumbang 10 peratus daripada
jumlah penduduk selain dianggap sebagai tidak produktif.
Shahrir
berkata, Greece juga terlalu bergantung terhadap pelancongan dan kurang
sumber selain tidak mempunyai komoditi.
"Berbanding Malaysia,
pelancongan hanya merupakan salah satu daripada aktiviti ekonomi
manakala aktiviti ekonomi yang lain adalah pelbagai,'' katanya.
Shahrir
berkata, Greece perlu meminjam untuk membayar faedah sedangkan Malaysia
tidak pernah gagal melaksanakan tanggungjawab itu.
Beliau turut
menegaskan bahawa Malaysia sudah mempunyai sistem kewangan yang kukuh
hasil daripada penyepaduan bank, pembersihan pinjaman tidak berbayar
selepas krisis kewangan 1997 menerusi institusi seperti Danamodal dan
Danaharta.
Berkongsi keyakinan bahawa ekonomi Malaysia sudah
meningkat seiring jentera kerajaan, termasuk kutipan cukai, Shahrir juga
berkata, kerajaan turut mengurangkan pembaziran dan ketirisan dengan
melaksanakan e-pemerolehan untuk menjimatkan wang.
"Pada Bajet
2010, kerajaan bersetuju mengurangkan perbelanjaan menyeluruh sebanyak
10 peratus di kesemua kementerian,'' katanya.
Kerajaan sudah
membelanjakan jumlah yang besar untuk projek seperti Lebuhraya
Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang. Kini perbelanjaan kerajaan
paling besar ialah subsidi.
"Usaha berterusan yang dilakukan hari
ini ialah meningkatkan ekonomi dengan menggalakkan kecekapan dan
produktiviti menerusi Model Ekonomi Baru,'' katanya.
Dalam
menganalisis pandangan Idris Jala mengenai ekonomi secara teknikal,
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bercakap mengenai
pemahaman terhadap bankrap.
"Secara mudahnya, ia merupakan
situasi di mana anda tidak lagi mampu membayar hutang dan persoalan
berikutnya, adakah itu keadaan (sebenar) ekonomi kita?"
Beliau
berkata, jika ekonomi Malaysia ditentukan berdasarkan hutang negara,
kadar simpanan, paras defisit dan prestasi perdagangan, ia lebih kukuh
berbanding Greece.
Secara lebih terperinci, Khairy berkata, ia
menunjukkan bahawa hutang negara adalah 54 peratus daripada Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK), kurang separuh daripada Greece iaitu 113
peratus hutang.
Rakyat Malaysia mempunyai kadar simpanan yang
tinggi iaitu 35 peratus daripada KDNK, iaitu tujuh kali lebih tinggi
berbanding lima peratus simpanan rakyat Greece.
Defisit bajet
2009 Greece ialah 13.6 peratus daripada KDNK iaitu sebanyak 2.4 kali
lebih tinggi berbanding Malaysia.
Malaysia memperoleh lebihan
dagangan sebanyak RM118.4 bilion pada 2009 manakala Greece merekodkan
defisit RM105.7 bilion dalam tempoh yang sama.
Pada Mac 2010,
rizab antarabangsa Malaysia berjumlah AS$95.3 bilion (RM304.96 bilion),
17.3 kali lebih tinggi berbanding Greece sebanyak AS$5.5 bilion (RM17.6
bilion).
Khairy juga merujuk kepada analisis dua agensi
penarafan, Fitch Rating Agency dan Standard & Poor's untuk
mengukuhkan kes bahawa ekonomi Malaysia secara relatifnya kukuh.
Penarafan
hutang jangka panjang Greece diturunkan kepada negatif pada Disember
lepas dan hutangnya diletakkan dalam pemerhatian negatif.
Amaran
penurunan akan dikeluarkan jika kerajaan Greece tidak mengekang lebihan
perbelanjaan.
Sebagai perbandingan, Malaysia merancang bon dolar
Islam global, yang dilaksanakan dengan penarafan gred pelaburan awal A-
oleh Standard & Poor's dan A3 oleh Moody's Investors Service.
-
BERNAMA