Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) mengucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato' Sri Najib Tun Razak di atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK10) yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada hari ini.
Sesungguhnya, RMK10 merupakan suatu perancangan teliti, bistari dan tuntas untuk tempoh separuh masa pertama, yakni dari tahun 2011 hingga 2015, dalam perjalanan kita ke status negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Segala teras perancangan bagi RMK10 merangkumi aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang bertunjangkan pendapatan tinggi dan kemampanan yang bukan sahaja akan meningkat produktiviti dan pendapatan negara bahkan penguasaan teknologi serta daya saing kita di persada antarabangsa.
Disebalik angka-angka ekonomi yang terkandung dalam RMK10, Pemuda UMNO menyambut baik perincian RMK10 di mana perangkaan komprehensif untuk mencapai status negara maju disandarkan kepada usaha memastikan kebajikan dan kualiti hidup rakyat terbela, sejajar dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Justeru, Pemuda UMNO melihat RMK10 sebagai perancangan pembangunan inklusif berakarkan rakyat.
Ringkasan makro
Sejumlah RM230 bilion akan diperuntukkan di dalam RMK10 untuk membiayai segala inisiatif pembangunan negara di mana sebanyak RM126.5 bilion atau 55 peratus disalurkan kepada sektor ekonomi; RM69.0 bilion atau 30 peratus kepada sektor sosial; RM23.0 atau 10 peratus bagi sektor keselamatan; dan RM11.5 bilion atau 5 peratus untuk pentadbiran am. Segala usaha ini bakal meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita sebanyak 8 peratus setahun daripada USD8,256 pada tahun ini kepada USD12,139 pada 2015. Disamping itu, peruntukan ini juga bakal memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan momentum pertumbuhan 6 peratus setahun sepanjang tempoh 2011-2015, lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi global sebanyak 4.5 peratus setahun.
Di dalam memperincikan perencanaan pembangunan negara, Kerajaan telah mengenalpasti 12 bidang utama ekonomi negara yang meliputi 11 sektor dan juga satu kawasan geografi yang akan menjadi penjana dan pemangkin utama kepesatan pertumbuhan ekonomi negara. Bidang tersebut adalah minyak dan gas, minyak sawit dan produk berkaitan, perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi, pendidikan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan perniagaan, penjagaan kesihatan swasta, pertanian dan juga Greater Kuala Lumpur.
Disamping peracangan makro yang komprehensif dan menjanjikan pulangan kepada kemajuan ekonomi negara, Pemuda UMNO di sini ingin mengulas tiga aspek penting yang dilihat memberi impak langsung kepada rakyat sepertimana terkandung dalam RMK10.
Sumbangan belia
Pemuda UMNO menyokong kandungan RMK10 yang mengiktiraf peranan dan sumbangan kritikal golongan belia sebagai rakan kongsi di dalam menyumbang bakat kebolehan bagi keperluan sumber manusia negara. Sehubungan dengan itu juga Pemuda UMNO menyambut baik cadangan program pembanguan belia yang akan dirangka oleh Kerajaan disamping penawaran latihan pembangunan kemahiran dan juga keusahawanan kepada golongan belia.
Salah satu elemen menarik di dalam RMK10 ini adalah pengenalan two-year rolling plan di dalam perancangan dan penyelarasan perbelanjaan. Pemuda UMNO melihat ia memberi ruang, keanjalan dan fleksibiliti yang diperlukan terutama apabila berlaku sebarang perubahan ketara di dalam iklim ekonomi dunia dan domestik yang memerlukan perbelanjaan negara bersifat responsif.
Pemuda UMNO juga menyambut baik kenyataan YAB Perdana Menteri bahawa Kerajaan akan menganggap golongan muda sebagai ‘rakan kongsi’ dalam agenda pembangunan negara. Pemuda UMNO melihat ini sebagai suatu pengiktirafan tinggi kepada golongan muda lantas meletakkan mereka sebagai pemacu utama arus perdana kemajuan ekonomi Malaysia.
Fokus golongan berpendapatan rendah
Perancangan bistari bagi pembangunan infrastruktur, penambahan pengangkutan awam, pelaburan dalam kajian serta bidang-bidang baru ekonomi negara diseimbangi dengan penekanan terhadap kebajikan rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah. Ini dibuktikan dengan strategi dan pendekatan bagi meningkatkan potensi menjana pendapatan kelompok ini disamping usaha-usaha mengayakan lagi kualiti dan akses perkhidmatan kepada semua.
Pemuda UMNO berpandangan bahawa dalam setiap elemen mahupun teras sebarang perancangan ekonomi negara, perkara yang mesti diutamakan adalah agenda kebajikan dan kualiti hidup rakyat. Justeru, Pemuda UMNO menyokong sepenuhnya prinsip inklusif dalam RMK10 demi memastikan kemakmuran negara dinikmati setiap warga. Dalam hal ini, Pemuda UMNO menyambut baik ikrar Perdana Menteri sewaktu membentangkan RMK10 bahawa golongan yang paling memerlukan akan terus dibantu sekalipun Kerajaan menjalankan penstrukturan semula subsidi.
RMK10 turut menggariskan rancangan Kerajaan untuk menyediakan program ekonomi serta penyediaan infrastruktur asas kepada golongan terpinggir di kawasan pedalaman dan ladang estet. Bukan sekadar penyediaan kemudahan asas di kawasan pedalaman, Pemuda UMNO mengambil maklum bahawa RMK10 juga meletakkan akses mikro-kredit TEKUN dan AIM sebagai keutamaan dalam usaha memperkasakan peniaga kecil lantas menangani isu kemiskinan bandar.
Dikala Pemuda UMNO menyokong falsafah mengutamakan kebajikan yang jelas terkandung dalam RMK10, kami juga menggesa Kerajaan memastikan agensi-agensi Kerajaan yang terbabit dalam usaha-usaha di atas benar-benar menjalankan tanggungjawab mereka. Gesaan ini dibuat berdasarkan maklumbalas yang diterima dari akar umbi di mana adakalanya perancangan murni Kerajaan untuk membantu rakyat tidak diterjemahkan dengan sempurna oleh agensi-agensi yang berkenaan. Disamping itu, Pemuda UMNO juga berharap Kerajaan akan sedia berkongsi lebih banyak perincian data dan rancangan kebajikan, terutamanya dalam program ekonomi untuk penduduk miskin terpinggir, supaya rakyat dapat lebih memahami sumbangan serta tindakan Kerajaan untuk memastikan prinsip keadilan sosial ditegakkan.
Agenda Bumiputera bersandarkan daya saing
Pemuda UMNO juga menyokong usaha Kerajaan memperkenalkan dimensi peningkatan keupayaan dan daya saing di dalam agenda pembangunan Bumiputera di mana ia akan berteraskan kepada prinsip mesra pasaran, merit, keperluan serta ketelusan di dalam pendekatan pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera.
Bagi Pemuda UMNO, inilah hala tuju pemerkasaan Bumiputera yang sesuai pada waktu ini. Sudah tiba masanya, agenda Bumiputera itu dihayati dan diperjuangkan melalui perspektif yang lebih luas, di mana bantuan langsung tetap diberikan kepada golongan yang memerlukan tetapi prinsip daya saing mula diterapkan di kalangan pengusaha Bumiputera sendiri supaya lebih bersedia menghadapi cabaran yang tidak boleh dielak selama-lamanya. Agenda Bumiputera yang kontemporari perlulah berlandaskan konsep pemerkasaan dan pencapaian, bukan lagi konsep berselindung semata-mata. Justeru, Pemuda UMNO menyambut baik usaha Kerajaan meningkatkan keupayaan syarikat Bumiputera untuk terus maju dalam rantaian nilai.
Selaras dengan agenda Bumiputera dalam RMK10, Pemuda UMNO bersetuju dengan landasan baru di mana pencapaian Bumiputera akan diukur bukan sahaja melalui ekuiti atau aspek pemilikan kekayaan, tetapi juga aspek peningkatan pendapatan. Pemuda UMNO melihat kaedah baru ini sebagai lebih responsif kepada realiti kedudukan Bumiputera hari ini.
Di dalam kita meraikan lembaran baru perancangan RMK10, marilah kita juga mengimbas bersama akan sumbangan Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9) yang telah menjana purata pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.2 peratus setahun sepanjang tempoh 2006 hingga tahun ini dan dijangka merakamkan sumbangan produktiviti factor keseluruhan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 34.7 peratus berbanding 29.0 peratus di dalam Rancangan Malaysia Ke Lapan (RMK8). Disamping itu, RMK9 juga telah berjaya mewujudkan 900,000 pekerjaan dan meningkatkan PNK per kapita sebanyak 64 peratus daripada USD5,038 pada tahun 2005 ke USD8,256 pada 2010.
Akhirul kalam, Pemuda UMNO sekali lagi mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan dan YAB Perdana Menteri di atas perbentangan RMK10 yang bukan sahaja menzahirkan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan bahkan mementaskan mesej bahawa Kerajaan amat komited dalam membangunkan negara buat semua rakyat Malaysia. Pemuda UMNO memanjatkan doa agar segala perancangan yang telah di buat akan dapat direalisasikan bersama dan dipermudahkan serta diberkati oleh Allah SWT.