KUALA LUMPUR 12 Jun - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menggunakan platform Jelajah One Malaysia (JOM) menerusi Rally 1Malaysia untuk menyatupadukan rakyat khususnya golongan belia.
Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, jelajah yang bakal mengambil masa selama setahun itu turut menerap mesej agar belia menolak politik sempit demi kepentingan negara pada masa depan.
"Dalam BN, tidak ada tempat untuk politik perkauman dan politik sempit.
"Kita bina rumah yang berbumbungkan 1Malaysia. Falsafah ini (1Malaysia) perlu diamalkan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Rally 1Malaysia anjuran Pemuda BN, di Stadium Putra, Bukit Jalil dekat sini hari ini.
Khairy menambah, dalam membawa belia ke peringkat lebih tinggi, golongan itu perlu berani bersaing di peringkat antarabangsa dan bukan hanya berlegar dalam saingan sesama kaum sahaja.
Menyentuh mengenai Rally 1Malaysia, jelasnya, program seumpama itu akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.
"Buat masa ini, sebuah bas akan digunakan. Jika berjaya, kita akan meminta Perdana Menteri untuk mempertimbangkan penambahan bas," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau mencabar pakatan pembangkang supaya menutup semua premis perjudian di negeri-negeri yang ditadbir mereka.
"Mereka kata ini (menutup premis perjudian) adalah tidak praktikal. Jika ikhlas, tutup semua. Tunjukkan prinsip anda," tegasnya.
(Source: Utusan Malaysia)