JOHOR BAHRU 26 Jun - Ahli Pemuda dan Puteri UMNO negeri perlu mengikis
sikap selesa dengan kedudukan Johor sebagai kubu kuat UMNO kerana parti
pembangkang sentiasa mengintai peluang untuk menggugat penguasaan
Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy
Jamaluddin berkata, mereka sebaliknya perlu bekerja lebih keras termasuk
turun padang bagi mendekati rakyat dan mencari pengundi baru bagi
memperkukuhkan sokongan terhadap BN.
"Setiap daripada kita perlu
ada perasaan cemas. Jangan ingat sebagai kubu kuat, pembangkang tidak
serang Johor. Orang kita hanya rasa cemas waktu UMNO dibubarkan dahulu
dan kemudian leka.
"Jadi, kita perlu turun ke akar umbi seperti
yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
sering bertemu dan beramah mesra dengan rakyat," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda
dan Puteri UMNO Bahagian Gelang Patah di Skudai di sini hari ini.
(Source:
Utusan Malaysia)