July 26, 2010
Sokongan Ahli Politik Dalam Permohonan Kepada Kerajaan
Kita dimaklumkan hari ini, kakitangan awam kini diarahkan melaporkan sebarang kes di mana ahli politik cuba mempengaruhi pemberian kontrak Kerajaan melalui surat sokongan mahupun secara lisan. Pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Y.Bhg Tan Sri Sidek Hassan baru-baru ini menegaskan bahawa sebarang keputusan dalam hal pemberian kontrak Kerajaan - baik Kementerian, agensi mahupun jabatan - perlu berdasarkan merit dan kelayakan sesuatu permohonan, bukan sebarang hubungan politik.

Pada dasarnya saya menyokong sepenuhnya usaha membanteras penyalah gunaan kuasa serta mengutamakan merit dan keperluan dalam apa jua permohonan kepada Kerajaan. Kita sedia maklum pada masa lalu memang wujud kes-kes di mana pemohon-pemohon yang mempunyai hubungan politik diberi kontrak Kerajaan atas dasar sokongan dari ahli politik. Saya juga bersetuju dengan Presiden Cuepacs Omar Osman bahawa fenomena ini adalah tidak adil bagi pemohon-pemohon lain yang tidak mempunyai 'kabel' hubungan politik ini.

Namun, berdasarkan pengalaman selaku seorang wakil rakyat, saya juga menyedari bahawa bukan semua yang datang meminta surat sokongan adalah mereka yang tidak layak dibantu jauh sekali bergantung harap kepada sokongan dari ahli politik semata-mata.  Malah, terdapat beberapa kes di mana pemohon yang ternyata berkelayakan terpaksa datang meminta sokongan saya selaku wakil mereka di Rembau kerana permohonan mereka gagal atas sebab-sebab kelemahan birokrasi.

Mereka ini bukanlah kenalan saya jauh sekali mempunyai hubungan politik dengan saya. Mereka berkesempatan berjumpa saya sewaktu saya berada di Pusat Khidmat Masyarakat Rembau. Maka, adalah tidak benar sekiranya kita mengatakan bahawa setiap daripada surat sokongan yang ditulis seorang ahli politik adalah 'salah guna kuasa' untuk kenalan-kenalan politiknya. Seringkali sesuatu sokongan diberikan atas kapasiti seorang wakil rakyat yang hanya menjalankan tugas mahu membantu rakyat yang tidak mendapat bantuan yang sewajarnya.

Mungkin ada yang akan mempersoalkan keperluan surat sokongan atau sokongan secara lisan oleh ahli politik, biarpun untuk mereka yang tidak mempunyai hubungan politik. Jika sesuatu permohonan itu mempunyai merit seperti kelayakan teknikal dan rekod kerja yang baik atau kerperluan yang mendesak, bukankah ia akan dipertimbangkan sewajarnya tanpa perlu sebarang campurtangan ahli politik? Sama juga bagi permohonan-permohonan lain yang perlu melalui sistem awam seperti permohonan kerja, kediaman kos rendah mahupun biasiswa - bukankah semuanya boleh ditentukan oleh kakitangan awam berdasarkan merit dan keperluan? Di sini, saya ingin mengatakan bahawa suka atau tidak, di kalangan penjawat awam juga terdapat 'Napoleon Kecil' yang bertindak atas motivasi tertentu. Hakikatnya, kakitangan awam juga tidak terlepas daripada kemungkinan salah guna kuasa melalui tindakan ‘pilih kasih’ atau favouritism. Akibat dari kelemahan birokrasi ini, ramai pemohon yang layak dan melalui saluran biasa ditolak. Dalam erti kata lain, sistem awam yang sedia ada telah menggagalkan mereka, lantas mereka terpaksa meminta bantuan dari wakil rakyat.

Dalam hal ini juga, saya ingin membangkitkan persoalan mengenai peranan ahli politik yang dipilih rakyat. Apa guna kita mengadakan pilihanraya untuk memilih wakil rakyat sekiranya perkara seperti menulis surat sokongan pun tidak dibenarkan? Jika seorang wakil rakyat gagal membuktikan kebolehan membantu dan membela rakyat, maka beliau akan diundi keluar, manakala kakitangan awam pula tidak dipilih. Oleh itu, janganlah kita terlalu cepat memandang serong peranan wakil rakyat dalam menyokong sesuatu permohonan kepada Kerajaan.

Bukan niat saya untuk memburukkan kakitangan awam. Malah, saya yakin sebahagian besar daripada mereka mempunyai integriti dan keikhlasan yang tinggi. Namun, selagi wujud fenomena  'Napoleon Kecil' di kalangan kakitangan awam, kita tidak boleh menolak langsung peranan ahli politik yang mewakili kepentingan rakyat. Di sini saya ingin mencadangkan satu jalan tengah yang dapat menangani isu-isu berhubung pemberian kontrak. Cadangan saya, jika penjawat awam berperanan melaporkan sebarang surat sokongan dari ahli politik, maka ahli politik juga perlu diberi ruang untuk memanjangkan sesuatu permohonan apabila dirasakan sistem birokrasi telah menggagalkan permohonan itu sungguhpun mempunyai merit untuk diterima.

Saya melihat kaedah ini dapat membantu dalam memantau penyalah gunaan kuasa di kalangan mereka yang mempunyai hubungan politik, serta kegagalan birokrasi atau juga rasuah dalam perkhidmatan awam. Saya ingin menegaskan di sini bahawa cadangan ini dibuat bukan berasaskan dasar campurtangan politik, tetapi atas prinsip merit dan keperluan.
 
 
 
Reader Comments
10. Faizun Jamaludin
@ 7/28/2010 11:18:00 AM
 
Pekeliling Tan Sri Sidek Hassan ini sudah macam outdated. Pada pendapat saya, selama ini pun yang betul-betul berkuasa di kementerian, agency atau jabatan adalah Litte Napoleon ni.. Datang la surat sokongan ahli politik mana pun, kebanyakannya tak dilayan sangat, kecuali surat sokongan menteri, baru la mereka2 ni bagi muka.

p/s: Little Napoleon lagi kuat berniaga...
 
9. bella
@ 7/28/2010 10:50:00 AM
 
I totally agree with Tan Sri Sidek. What exactly is the purpose of the letter of endorsement? If a person (like me for instance ) is not politically affiliated, thus I will not stand a chance against someone who has an endorsement from an MP.
A case in point is one of my sons who scored 10A1s for his SPM and was offered a course which he DID NOT apply for, while his friend who did worse then him is now undergoing the very course my son wanted to do. Please note that in terms of extra curricular activities they are of the same level - financially though they are poles apart - the other boy's father drives a flashy sports car among others.
I know the boy's father has close connections to UMNO and I'm sure its this very process of endorsement that got his son the placing.
For the common folks like me who do not know any MP, we are at the losing end.
My example above is just on a small level, that of scholarships. Undoubtedly though, it has caused deep resentment and frustration not only for my son, but for me and Im sure many other deserving students.
So Tan Sri Sidek - good for you Sir and about time too!!
 
8. Cina
@ 7/27/2010 4:39:00 PM
 
kalau betul-betul ikut merit, tak kan ada calon nak minta tolong dari wakil rakyat...

Oleh kerana terlalu ramai pegawai yg pilih kasih.... baru lah ada mangsa-mangsa yg tiada jalan lain dan terpaksa meminta tolong dari wakil rakyat.....
 
7. Faizal
@ 7/27/2010 4:27:00 PM
 
Salam,

YB harus peka dengan masalah surat sokongan ini, kebanyakkan surat sokongan ini hanyalah membawa keburukan. Pihak pegawai kerajaan telah mempunyai proses yang direka dengan baik bagi memastikan pemberian kontrak berlaku secara adil. Jika proses ini dilihat lemah, maka pembetulan dan polisi proses ini yang perlu dibetulkan bukanlah dengan surat sokongan.

Kebanyakkan negara yang maju telah mengharamkan surat sokongan ini, maka kenapa kita handak sangat mempertahankannya.

Learn from other.
 
6. Kerikil
@ 7/27/2010 3:26:00 PM
 
Kalau ada ketelusan dalam process tender, tidak mungkin calon yg mempunyai merit ditolak. Kerana tidak ada ketelusan inilah yang menyebabkan timbul kes-kes Napoleon kecil menyalahgunakan kuasa mereka.

Tugas YB bukan untuk memberi surat-surat sokongan. Kalau betul pun ada kes calon yg mempunyai merit diketepikan begitu sahaja, YB harus mendedahkan salahguna kuasa oleh pihak kakitangan awam yg terlibat. It lebih produktif dan bermakna.

Budaya minta sokongan ahli politik TIDAK harus digalakkan. Itu budaya feudal yg cuma akan memundurkan rakyat Malaysia.
 
5. Tanpa Nama
@ 7/27/2010 3:16:00 PM
 
Saya bersetuju dengan pendapat YB. Adalah tidak benar mereka yang meminta surat sokongan tidak mempunyai merit. Berdasar pengalaman saya ada kalanya dimana surat sokongan diperlukan kerana teknologi yang ingin dipromosikan adalah sangat baharu dimana informasi tentang produk dan teknologi itu berkurangan. Oleh itu surat sokongan diperlukan supaya pihak kerajaan dapat menimbang cara dengan adil apabila pernilaian terhadap produk dan teknologi terbaharu. Saya pernah orang berkata lebih senang jual teknologi baru ke negara orang dari negara sendiri.
Surat sokongan juga dapat menolong peniaga dan kontraktor kecil yang mempunyai rekod kerja yang baik tetapi tidak mempunyai "kabel" tersendiri.
Kita semua manusia dan memang betul pendapat YB bahawa ada dikalangan kakitangan kerjaan yang lebih meyebelahi kontraktor kerana kerja mereka yang memuaskan. Tidak salah untuk mereka memilih kontraktor berkenaan tetapi kita mesti juga memberi peluang kepada mereka yang berkebolehan tetapi kurang pengalaman.
 
4. Brains
@ 7/26/2010 6:30:00 PM
 
Tak masuk akal pekeliling yang dikeluarkan oleh Tan Sri Sidek neh... Keputusan memang di tangan penjawat awam. Tapi kalau wakil rakyat nak bagi sokongan atau recommendation, takkan mereka dilapor pulak!
 
3. vindaloo
@ 7/26/2010 6:28:00 PM
 
Betul tu YB. Nama pun wakil rakyat, takkan lah rakyat minta tolong pun tak boleh. Apa nak jadi..
 
2. jebat
@ 7/26/2010 5:44:00 PM
 
Tan Sri Sidik betul !!
Kontrek harus berdasarkan merit !!
Kalu tidak maka kan jadi saperti Stadium Terengganu dan lain-lain lagi,

Itu pun kalau nak berdaya maju..
 
1. Bukan Pak Pandir
@ 7/26/2010 5:12:00 PM
 
Masalah yang dibangkit oleh YB ialah satu masalah proses. Jika ada calon yang mempunyai merit untuk melibatkan diri dlm sesuatu projek, adalah lebih baik untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar supaya keupayaan teknikal dan juga kewangan lebih menyerlah didalam proses tender.
 
Add your comments
Name
Email
Can not see the image? Click to refresh
Security Code
.
 
Subscribe to RSS
 
ARCHIVED POSTS
.
Sep 01, 10
Namewee
.
Sep 01, 10
Segera laksanakan gaji minimum
.
August 2010 (14)
July 2010 (6)
June 2010 (7)
May 2010 (1)
April 2010 (2)
March 2010 (1)
February 2010 (4)
January 2010 (6)
Year 2009
Year 2008