KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy
Jamaluddin Khamis meminta Kementerian Dalam Negeri menyiasat Suara
Perkasa berhubung penyiaran berita muka depan akhbar itu yang mahu
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Hari ini saya dengar Suara
Perkasa keluarkan berita muka depan kata tahan Ka Siong bawah ISA, saya
tidak setuju kerana benda macam itu menghasut dan salah.
"Saya
lakukan ini bukan sebab saya nak pertahan Ka Siong tetapi kerana artikel
ini salah dan harus disiasat," katanya kepada pemberita di lobi
Parlimen di sini, hari ini.
Suara Perkasa, yang merupakan akhbar
Pertubuhan Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam edisi sulungnya menyiarkan
berita muka depan yang berunsur provokatif menerusi artikel "Tahan Ka
Siong di Bawah ISA".
Konflik antara presiden Perkasa Datuk
Ibrahim Ali dan Wee bermula apabila anggota Parlimen Pasir Mas itu
mendakwa Ketua Pemuda MCA berkenaan mempersoalkan kontrak sosial serta
tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam isu biasiswa Jabatan
Perkhidmatan Awam.
Khairy berkata memperjuangkan hak orang Melayu
bukanlah satu masalah, tetapi kepentingan kaum lain tidak diketepikan.
"Bagi
saya BN (Barisan Nasional), Umno kita nak melihat inklusif untuk semua,
tidak mengapa Perkasa berjuang untuk orang Melayu, tetapi cara dia
buat, saya tidak setuju," katanya.
Sementara itu, Wee ketika
ditemui berkata beliau akan mengkaji tindakan undang-undang yang boleh
diambil berhubung penyiaran artikel tersebut.
Katanya, beliau
hairan kenapa perkara itu tersebut masih dibangkitkan sedangkan
penjelasan berhubung isu biasiswa telah diberikannya.
-- BERNAMA