KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kenyataan Ketua Pembangkang Datuk
Seri Anwar Ibrahim berhubung rasa kesal beliau menggunakan istilah
'pencerobohan Zionis' ketika melawat Amerika Syarikat minggu lepas
seperti yang dilaporkan akhbar Washington Post mengundang pelbagai
kecaman.
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mahu Anwar yang juga
Anggota Parlimen Permatang Pauh memberi penjelasan kerana kenyataan itu
seolah-olah penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memohon maaf.
"Anwar
mengatakan beliau kesal menggunakan terma (pencerobohan Zionis) kepada
rakannya di Amerika dan ini jelas menunjukkan beliau meminta maaf dari
mereka.
"Jadi beliau patut jelaskan kepada rakyat Malaysia kenapa
dia pergi ke sana dan meminta maaf kepada rakan-rakanya," katanya
kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, pada Khamis.
Khairy
berkata tindakan Anwar itu jelas menunjukkan bahawa beliau seorang
pemimpin yang suka 'bermuka-muka' kerana sebelum ini pernah terbabit
dalam demonstrasi besar-besaran di depan kedutaan Amerika Syarikat di
sini, mengecam Israel menggunakan istilah tersebut.
Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata,
sememangnya perkara itu telah diketahui sejak awal setelah 'rakan-rakan'
Yahudi Anwar di Amerika Syarikat yang dulu menyokongnya mula
mempersoalkan tindakannya.
Katanya, apabila mendapat laporan
bahawa rakan-rakannya mulai marah, Anwar terpaksa pergi ke sana untuk
memperbetulkan keadaan.
"Kita dah tahu cerita tu sebab geng-geng
Yahudi dia kat Amerika Syarikat yang sokong dia dulu dah mula marah.
Bila dapat laporan tu, Anwar pergi untuk perbetulkan keadaan.
"Jadi
kita boleh lihat dia punya perangai. Di sini dia kecam, di sana dia
pujuk. Itu dah memang stail dia. Jadi saya harap rakyat tahu semua itu,"
katanya.
Bagi Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali,
lawatan Anwar ke Amerika Syarikat lebih dilihat sebagai usaha untuk
mengumpul sokongan kerana beliau dilihat benar-benar terdesak dengan
pelbagai kes yang dihadapinya.
"Lawatan tu sebab dia terdesak
kerana dia kini berdepan banyak masalah termasuk kes mahkamah. Sebab tu
dia pergi untuk dapatkan sokongan dari negara luar, terutamanya pihak
Israel. Ini jelas menunjukkan dia benar-benar terdesak," katanya.
Di
BANGI, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga
naib presiden UMNO berkata Anwar memang terkenal dengan sifat lidah
bercabang.
"Bila berjumpa orang India, dia adalah seorang pejuang
masyarakat India, berjumpa orang Cina, beliau adalah hero masyarakat
Cina dan bila berjumpa orang Islam, beliau adalah pejuang Islam."
Apabila
beliau berucap di Parlimen mempertikaikan pelantikan APCO Worldwide,
beliau seolah-olah menjadi juara rakyat Malaysia keseluruhannya dengan
mengutuk APCO sebagai penceroboh zionis," kata Ahmad Zahid ketika
ditemui media selepas melepaskan Ekspedisi IMalaysia ke London di sini
hari ini.
Ahmad Zahid berkata Anwar mungkin mulai sedar beliau
telah diketepikan masyarakat Yahudi yang tidak semuanya Zionis.
"Beliau
menyedari rakan beliau di Amerika Syarikat telah bersikap dingin
terhadap beliau kerana sikap beliau yang berlidah biawak itu dan kini
langkah beliau adalah membersihkan dirinya," katanya.
Ahmad Zahid
berkata ketika berkunjung ke Amerika Syarikat awal Mei lalu, beliau
berkesempatan bertemu dengan ahli-ahli senat dan kongres dan "tidak
seorang pun bercakap mengenai Anwar lagi.
"Bagi saya antara
negara dengan kepentingan parti, beliau harus utamakan negara. Walaupun
kita berbeza pendapat dari segi politik tetapi demi negara kita harus
mempertahankan negara bukan dengan memburukkan negara," tambahnya.
--
BERNAMA