KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sedang
menyediakan cadangan pelarasan gaji untuk meningkatkan gaji anggota
Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.
Timbalan
Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata usaha ini
dilakukan supaya upah yang diterima setimpal dengan pengorbanan dan
komitmen anggota tentera dalam tugas dan tanggungjawab mereka.
"Untuk
pastikan siapsiaga dan tingkatkan moral anggota tentera, kementerian
dalam peringkat akhir untuk kemukakan cadangan pelarasan gaji kepada
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya ketika menjawab soalan Khairy
Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai cadangan meningkatkan gaji anggota
tentera pada persidangan dewan pada Isnin.
Dr Abdul Latiff juga
berkata struktur gaji anggota ATM terbahagi kepada struktur gaji Pegawai
dan struktur gaji anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Katanya
struktur gaji Pegawai dibahagikan pula kepada dua kumpulan iaitu
struktur gaji Pegawai Senarai Tugas Am dan struktur gaji Pegawai Senarai
Tugas Ikhtisas.
"Struktur gaji bagi anggota LLP adalah
berasaskan kepada sistem gaji band (Payband System) yang dikuatkuasakan
sejak 1976.
Ia terbahagi kepada lima band di mana band 1 adalah
untuk tahap paling rendah manakala band 5 adalah tahap gaji tertinggi.
"Sistem
gaji ini masih digunapakai dan diambil kira dalam menentukan perubahan
gaji anggota LLP melalui Sistem Saraan Baru (SSB) dan Sistem Saraan
Malaysia (SSM)," katanya.
-- BERNAMA