PETALING JAYA, 25 Julai (Bernama) -- Dekatilah masyarakat dengan ikhlas,
bukannya sekadar 'masuk frame' atau menonjolkan diri untuk mencuri
perhatian, demikian ingatan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin kepada
anggota pergerakan itu pada Ahad.
Beliau berkata, keikhlasan
adalah lebih penting kerana sebagai pemimpin mereka tahu siapa yang
membuat kerja dan siapa pula sebaliknya.
"Kita kena tunjuk bahawa
Umno ini sentiasa dekat kepada rakyat. Sebab itu saya tegur Pemuda,
sekiranya saya turun untuk membuat gotong-royong tak perlulah dikerumuni
dengan rombongan...itu nampak macam kita sengaja nak masuk frame.
"Pemuda
kena keluar daripada budaya nak masuk frame. Saya tahu siapa yang buat
kerja. Jadi tak payahlah nak masuk frame kalau nak dinilai oleh saya
sebagai Ketua Pemuda," katanya kepada pemberita selepas menghadiri
program gotong royong dan kenduri rakyat anjuran Pemuda Umno Bahagian
Kelana Jaya di Taman Desa Ria di sini.
Khairy berkata, budaya
menonjolkan diri ketika menyertai aktiviti kemasyarakatan yang
melibatkan pemimpin perlu dihindarkan, selaras dengan saranan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengingatkan pemimpin dan
pegawai kerajaan agar menjauhi budaya ingin popular.
Beliau
berkata, janganlah apabila hanya ketika pemimpin atasan turun ke bawah
barulah seseorang itu menonjolkan diri sedangkan sebelum ini mereka
tidak pernah melakukannya.
"Sebab itu saya sebagai Ketua Pemuda
Umno menyahut saranan Perdana Menteri bahawa tak perlulah semua itu
kerana tidak semestinya orang yang masuk dalam gambar itu orang yang
buat kerja," katanya.
Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan
Nasional (BN) berkata, dalam usaha menarik dan menambahkan sokongan
generasi muda, pergerakan itu kini mula memperbanyakkan program yang
melibatkan rakyat dan mengurangkan program-program berbentuk kepartian
yang menjurus kepada penglibatan anggota Umno dan Barisan Nasional.
Beliau
berkata, selain gotong-royong dan kenduri rakyat, pendekatan lain yang
sedang dilakukan ialah program 'Jelajah One Malaysia' (JOM) yang
membabitkan kerja-kerja kemasyarakatan seperti mengecat rumah dan menaik
taraf kediaman rakyat.
Katanya, progam pertama JOM adalah
mengunjungi Temerloh, Pahang baru-baru ini dan akan diteruskan ke
seluruh negara di mana setakat ini pihaknya telah mengenal pasti
sekurang-kurangnya 1,000 buah rumah untuk dinaik taraf seperti membina
dapur dan tandas baru.
"Program ini akan diteruskan sehingga
pilihan raya umum akan datang kerana yakin lebih berkesan daripada hanya
berceramah kerana ia terus menyentuh hati rakyat dan pengundi,"katanya.
Khairy
berkata, pergerakan itu juga mensasarkan untuk mendaftarkan kira-kira
150,000 anggota Pemuda di seluruh negara sebagai pemilih menjelang akhir
tahun ini.
Beliau turut menyeru semua parti komponen BN
terutamanya MCA, MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) untuk sama-sama
berusaha menambah keahlian baru dan menurutnya usaha itu penting kerana
parti pembangkang terutamanya DAP begitu agresif menambah keahlian.
Katanya,
setakat ini DAP telah berjaya mendaftar ahli baru sebanyak 55,000 orang
berbanding Umno 53,000 dan jika dicampur pendaftaran daripada PAS dan
Parti Keadilan Rakyat (PKR), jumlah pendaftaran keahlian baru
pembangkang adalah sebanyak 100,000 orang.
-- BERNAMA