KUALA LUMPUR 25 Julai - Seramai tujuh juta pengundi muda akan menjadi
faktor penentu dalam keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN)
atau parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
Bagaimanapun,
kajian terbaru oleh Makmal Pemuda BN telah memberi wawasan tentang
pemikiran golongan pengundi muda dengan kebanyakan mereka mengambil
pendirian non-partisan (tidak memihak) berhubung politik negara.
Berikutan
majoriti golongan belia bukan penyokong mana-mana parti, kajian itu
mendapati tiga daripada lima pengundi muda atau 62 peratus daripada
mereka masih ‘duduk atas pagar’ mengenai parti pilihan mereka.
Hasil
kajian ke atas kira-kira 1,000 responden dari seluruh negara itu serta
cadangan dasar telah disampaikan oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy
Jamaluddin kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.
Kajian
yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik khas selama dua bulan mulai
Mac lalu itu bagi membantu parti pemerintah menggubal dasar bersesuaian
dengan keperluan generasi muda di negara ini.
Hasil laporan itu
akan diumumkan kepada awam pada satu mesyuarat bersama Perdana Menteri
dijadual pada 20 Ogos ini.
Kebimbangan utama yang disuarakan oleh
responden adalah berkaitan dengan pekerjaan, pendidikan, peningkatan
kos hidup dan pengangkutan awam.
“Golongan belia ini akan
mengundi mana-mana calon yang mereka fikir lebih baik pada pilihan raya
umum akan datang,” menurut hasil kajian itu.
Hasil kajian itu
adalah serangkai dengan arah aliran politik semasa yang ditonjolkan oleh
pelbagai pemerhati dan penganalisis politik termasuk Pensyarah Kanan
Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan
Hasbullah.
“Pengundi muda kini lebih berpandangan terbuka dan
membina dan mereka tidak menilai sesuatu isu berdasarkan ideologi
politik. Sokongan mereka mudah berubah atau bertindak kepada situasi
pada bila-bila masa,” kata Abu Hassan.
Menurutnya, generasi muda
tidak lagi berpegang kepada kata-kata atau janji ahli politik tetapi
sebaliknya menilai bagaimana parti-parti berkenaan menangani pelbagai
isu.
Bagi Khaw Veon Szu, Pengarah Institut Pembangunan
Sosioekonomi dan Penyelidikan (SEDAR), iaitu kumpulan pemikir Parti
Gerakan, pula, beliau percaya kebanyakan belia di negara ini masih
cenderung kepada pembangkang, walaupun perangkaan 60 peratus pengundi
belia ‘atas pagar’ seperti dilaporkan oleh Mahkamah Pemuda BN.
“Saya
percaya pengundi muda ‘atas pagar’ sebenarnya pada kadar 30 peratus dan
saya tidak kata ia akan mencecah sehingga 60 peratus,” katanya.
“Pengundi
sentiasa berubah secara bulanan tetapi ia hanya sekadar mana tahap
perubahan itu.
“Konsensus secara umum bagi golongan muda dan
ligat itu pada amnya mereka memihak pembangkang,” katanya.
Veon
Szu berkata, pembangkang mempunyai sedikit ‘simpanan tetap’ dalam
masyarakat Cina dan ini dijelaskan mengapa mereka begitu gigih mendaftar
pengundi baru dan muda kerana mereka menganggap golongan itu adalah
tambahan kepada ‘simpanan tetap’ mereka.
Bagi memenangi hati
pengundi muda, katanya, BN tidak mempunyai masa tetapi sebaliknya perlu
mempunyai rancangan drastik bagi mengejar usaha pembangkang mendaftar
pengundi baru.
Salah satu sektor yang boleh membawa impak segera
dan berkesan yang boleh meninggalkan kesan mendalam dalam minda dan hati
pengundi muda adalah rombakan dasar pendidikan.
Bagaimanapun,
sebilangan pemerhati politik dan ahli parti berpendapat bahawa apa yang
BN perlu sekarang ialah penyelesaian kepada masalah yang dibangkitkan
oleh golongan ini dan bukan satu lagi kajian untuk mengetahui masalah
yang dihadapi oleh belia.
“Anda tidak perlu menjalankan satu
kajian untuk mengetahuinya. Sebagai seorang pemuda, saya boleh beritahu
apa yang golongan pemuda inginkan – pekerjaan, keselamatan, kualiti
hidup yang lebih baik dan urus tabir yang cekap,” kata seorang pemimpin
pemuda dari sebuah parti komponen BN.
Bagaimanapun, sebarang
bentuk kajian adalah penting dan dapat membantu BN merangka strategi
bagi membantu golongan itu di peringkat bawahan.
Usaha kajian
seperti itu adalah langkah tepat seperti dilakukan oleh Pemuda MIC di
mana lebih ramai pemimpin muda diberi tanggungjawab di peringkat
cawangan dan bahagian.
Ketua Pemuda MIC, T. Mohan, berkata pada
21 Ogos ini, sebanyak 50 cawangan pemuda baru dengan pemimpin baru akan
dibentuk selain mendaftar ahli baru sebagai pengundi jika mereka
mencapai umur 21 tahun.
“Sebelum ini, kita terpaksa menunggu
sehingga seseorang itu melepaskan jawatan atau meninggal dunia. Tetapi
kini, kita melakukan rombakan dan maklum balasnya adalah baik.
“Kami
kini mempunyai pengerusi cawangan berusia antara 20-an dan 30-an,”
katanya.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Anthony Loke Siew
Fook menjelaskan, kecenderungan pengundi muda kepada parti pembangkang
sebahagian besarnya disebabkan faktor ‘tolakan’ dari BN dan bukan faktor
‘tarikan’ oleh pembangkang.
“Perebutan mendapatkan sokongan
pengundi muda masih terbuka luas. Pengundi muda akan memilih calon yang
dapat membuktikan kelebihan yang ada pada diri mereka,” katanya.
Oleh
itu, Siew Fook berkata, pembangkang menumpukan kepada dua pendekatan
iaitu pendaftaran pengundi baru secara agresif dan memaklumkan kepada
golongan itu bahawa mereka boleh membuat keputusan dengan apa yang
mereka fikirkan penting.
Pensyarah Sains Politik, Kolej
Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI), Dr. Ong Kian Ming berkata, Pemuda
BN tidak mempunyai rancangan bersepadu untuk membabitkan golongan
pemuda serta gagal mengetengahkan dasar untuk mereka.
“Misalnya,
isu biasiswa. Kita tidak lihat sebarang usaha bersepadu untuk
menyelesaikan isu itu sehingga pengumuman oleh Perdana Menteri,”
katanya.
Pada 10 Julai lalu, Najib mengumumkan bahawa semua
pelajar yang memperoleh keputusan 9A+ dan ke atas pada peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan atau luar
negara.
Kian Ming berkata, golongan muda nampaknya lebih
cenderung kepada pembangkang tetapi parti pembangkang tidak boleh
mengambil mudah berikutan keputusan pilihan raya umum lepas menunjukkan
sedikit peningkatan sokongan golongan muda kepada BN.
‘‘Pada PRU
1999 dan 2004, corak pengundian golongan muda menunjukkan penurunan
sokongan terhadap BN tetapi pada 2008, terdapat sedikit peningkatan
sokongan kepada BN, khususnya dari generasi selepas reformasi berusia
antara 21 dan 30 tahun,’’ katanya.
Bagaimanapun, katanya, masih
ada banyak cabaran bagi pihak pembangkang dan pemerintah tetapi
kedua-dua pihak itu telah menampilkan beberapa pemimpin muda yang
berjaya mendekatkan diri dengan golongan belia di negara ini.
–
Bernama