KUALA LUMPUR 29 Julai - Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan cadangan DAP
supaya kerajaan Selangor memansuhkan pemberian diskaun kepada bumiputera
bagi pemilikan hartanah komersial dan mewah di negeri itu merupakan
satu lagi usaha untuk menolak kepentingan orang Melayu di negara ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin dalam entri terbaru dalam blog Rembau.net
hari ini kesal dengan saranan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Petaling
Jaya Utara, Tony Pua.
"Statistik pada 2007 menunjukkan pemilikan bangunan oleh orang Melayu
masih rendah iaitu cuma 15.7 peratus dan hartanah komersial pula hanya
sekitar 29.2 peratus.
"Bagi kompleks perniagaan dan serendah 3.5 peratus untuk premis
perindustrian dan ini menggambarkan ketidakseimbangan yang ketara.
"Saya kesal dengan saranan Tony kerana beliau langsung tidak
mencadangkan sebarang dasar lain untuk memperbetul ketidakseimbangan
yang berlaku ini, jika sekalipun tidak bersetuju dengan diskaun 7
peratus yang diberikan," katanya.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan, hujah Tony bahawa
hartanah yang dibeli dengan harga diskaun itu akan dijual semula oleh
broker atau orang tengah dengan harga yang lebih mahal tidak boleh
diterima.
"Alasan itu tidak boleh diterima kerana jika pelaksanaan menjadi
masalah, maka wajarlah kita menangani kelemahan tersebut dan bukannya
memansuhkan terus dasar diskaun bumiputera ini,” katanya.
Sehubungan itu, Khairy menyifatkan saranan Tony itu turut menggambarkan
prinsip sebenar DAP yang tidak ikhlas untuk membantu orang Melayu
walaupun tidak henti-henti menjaja persepsi kononnya DAP adalah parti
untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum," katanya.
Menurut Khairy, walaupun orang Melayu perlu bersaing secara terbuka
berdasarkan merit, namun kerajaan perlu membantu bumiputera yang
benar-benar layak sama ada dari segi keperluan atau merit.
(Source: Utusan Malaysia)