July 30, 2010
Pemuda saran AUKU dipinda benarkan mahasiswa berpolitik
KUALA LUMPUR 30 Julai - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mencadangkan supaya kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan golongan mahasiswa untuk aktif berpolitik.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sudah tiba masanya golongan muda seperti mahasiswa didedahkan dengan politik supaya mereka dapat dilahirkan sebagai pelapis pemimpin pada masa depan.

''Pemuda juga tidak takut jika perlu bersaing dengan pembangkang yang pastinya akan cuba masuk ke universiti,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda di PWTC di sini hari ini.

Khairy berkata, mahasiswa perlu diberikan kebebasan untuk berpolitik tetapi dengan syarat ia tidak mengganggu pengajian mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau menjelaskan, setakat ini AUKU telah dilihat sebagai menyekat usaha untuk menggalakkan mahasiswa yang termasuk dalam golongan terdidik yang diperlukan sebagai pelapis pemimpin muda.

Katanya, jika mahu melahirkan pemimpin terbaik maka tidak boleh lagi membataskannya kebenaran berpolitik kepada pihak tertentu sahaja.

''Kita perlu memberi ruang kepada yang berpendidikan tinggi dan terlatih untuk menjadi pemimpin pada masa depan,'' katanya.

Beliau berkata, tidak ada salahnya jika golongan mahasiswa, pensyarah dan juga guru yang mempunyai pengaruh yang baik di dalam masyarakat untuk terlibat dalam politik.

Sehubungan itu, Khairy menjelaskan, Pemuda menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 terlibat dalam politik mulai 1 Ogos ini.

Bagaimanapun, katanya, guru-guru disaran supaya tidak membawa fahaman politik masuk ke dalam bilik darjah.

''Guru perlu profesional di mana sekolah adalah tempat untuk bertugas dan hanya masa peribadi sahaja boleh digunakan untuk berpolitik,'' katanya.

(Source: Utusan Malaysia)
.
 
 
ARCHIVED POSTS
.
Sep 01, 10
Melayu perlu tegas - Khairy
.
Sep 01, 10
Namewee berani kerana Melayu terlalu bertolak ansur
.
Sep 01, 10
Let Namawee Issue Be A Lesson For All - Khairy
.
Sep 01, 10
Isu Namewee perlu jadi pengajaran pada semua - Khairy
.
Sep 01, 10
Pas terhegeh-hegeh jaga hati DAP - Khairy
.
August 2010 (24)
July 2010 (24)
June 2010 (19)
May 2010 (5)
April 2010 (18)
March 2010 (15)
February 2010 (12)
January 2010 (20)
Year 2009
Year 2008