KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO meminta kerajaan mengkaji semula
kaedah pelaksanaan arahan notis polis POL 170A atau lebih dikenali
sebagai 'saman ekor' berikutan ramai pemilik kenderaan tidak tahu
mengenai saman yang dikeluarkan terhadap mereka.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata pemilik kenderaan yang menganggap
mereka tidak bersalah atas saman itu atau langsung tidak menerima
apa-apa notis saman terpaksa membayarnya untuk membolehkan pembaharuan
cukai jalan dan mengelakkan diri daripada didakwa.
“Pemuda UMNO menganggap perkara ini adalah tidak adil bagi pemilik
kenderaan dan berharap kerajaan akan mengkaji semula dan menangguhkan
pelaksanaan sistem ‘saman ekor’.
“Kami juga menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak
membenarkan saman itu dikompaun. Keputusan ini juga amat membebankan
rakyat yang tidak mampu menyelesaikan jumlah saman yang begitu besar
apabila memperbaharui cukai jalan kenderaan,” katanya dalam satu
kenyataan di sini, hari ini.
(Source: Berita Harian)
|