 |
| June 23, 2009 |
 |
| Halatuju PPSMI |
 |
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa menjawab soalan lisan no. 2 daripada YB Kepong, Dr Tan Seng Giaw, semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada pagi tadi menjelaskan bahawa keputusan mengenai halatuju dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diputuskan awal bulan Julai selaras dengan selesainya kajian menyeluruh mengenainya.
YAB Tan Sri Muhyiddin juga mengakui bahawa pencapaian dasar tersebut, yang telah dimulakan sejak tahun 2003, setakat ini adalah nominal, yakni tidak memberi impak yang besar di dalam penguasaan Bahasa Inggeris mahupun pencapaian Sains dan Matematik. Pandangan yang diutarakan oleh YAB Menteri Pelajaran adalah selari dengan beberapa kajian sebelum ini, termasuklah kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dengan kerjasama lapan institusi pengajian tinggi tempatan pada Februari 2009, yang berasaskan sampel dari 553 orang guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli.
Daripada aspek keupayaan perlaksanaan dasar, kajian tersebut mendapati terdapat ramai lagi guru-guru yang belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di mana 39.3 peratus guru (74 orang) Sekolah Rendah dan 25.3 peratus guru (93 orang) Sekolah Menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris. Dari segi status pelaksanaan PPSMI dan sumbangannya terhadap peningkatan penguasaan dan pencapaian Bahasa Inggeris murid-murid pula, Pembina mendapati:
(i) Sekolah Rendah: Sumbangan dan korelasinya adalah rendah bagi mata pelajaran Sains, iaitu ia hanya berjaya menyumbang meningkatkan Bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus sahaja. Sementara bagi Matematik, tiada sumbangan terhadap peningkatan Bahasa Inggeris.
(ii) Sekolah Menengah Aliran Sastera: Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sumbangan dan korelasinya rendah. Di mana bagi Matematik hanya berjaya menyumbang peningkatan Bahasa Inggeris sebanyak 1.0 peratus dan 0.6 peratus bagi Sains.
(iii) Sekolah Menengah Aliran Sains: Hanya 2 mata pelajaran sahaja yang menunjukkan ada korelasi dan sumbangan rendah, iaitu Kimia 2 dan Matematik Tambahan. Di mana, jumlah kedua-dua mata pelajaran ini hanya menyumbangkan sebanyak 0.9 peratus, iaitu 0.6 peratus bagi Kimia 2 dan 0.3 peratus bagi Matematik Tambahan.
Kajian Pembina juga mendapati bahawa pelaksanaan PPSMI telah menyebabkan kerugian berganda kepada murid-murid, terutama kepada lebih kurang 75 peratus murid-murid yang tergolong dalam kategori sederhana dan lemah di dalam ketiga-tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Ini dibuktikan dengan analisa sampel terhadap keputusan peperiksaan yang diambil ke atas 5,590 murid tahun 5, kohort 2 (2004) dari 56 buah SK seluruh negara, menunjukkan bahawa pencapaian mereka semakin merosot, malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi, iaitu di Tahun 2 (2005), Tahun 3 (2006), Tahun 4 (2007), Tahun 5 (2008) dan dijangkakan berterusan di Tahun 6 (2009).
Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO menyambut baik kenyataan yang telah dibuat YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan bahawa keputusan akhir yang jelas mengenai dasar ini akan diumumkan pada awal bulan hadapan. Pemuda UMNO juga bersetuju dengan penjelasan YAB Timbalan Perdana Menteri bahawa pendekatan terbaik bagi penguasaan bahasa adalah dengan menambahbaik pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut, dan oleh sebab itulah Pemuda UMNO menyokong penuh cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM, dengan syarat adanya tenaga pengajar terlatih dan berkelayakan bagi bahasa tersebut yang cukup bagi memenuhi keperluan pelajar. Kesungguhan ini juga diterjemahkan dengan saranan Pemuda UMNO agar kerajaan menetapkan tahap pencapaian minimum dalam ujian Malaysian University English Test (MUET) bagi kelayakan masuk ke universiti tempatan bagi meningkatkan usaha pelajar meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris mereka.
Bagi Pemuda UMNO, pendekatan dan preskripsi polisi yang sesuai dengan masalah dan cabaran amatlah penting terutama apabila ia menyentuh aspek pendidikan, yang memberi kesan dan impak besar kepada pelajar-pelajar kita. Sesungguhnya, keputusan dan pertimbangan "cost-benefit analysis" halatuju PPSMI ini haruslah ditangani dengan objektif dan menyeluruh kerana ia bukannya untuk mengukir nostalgia lampau tetapi untuk membentuk halatuju dan masa depan modal insan negara. Yang penting dalam isu PPSMI ini adalah kesungguhan YAB Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran untuk membuat keputusan muktamad dalam masa yang terdekat tanpa membuang banyak lagi masa dan tenaga. Jangan kita menganggap pelajar-pelajar kita sebagai bahan eksperimen bagi satu dasar yang jelas mempunyai pelbagai kelemahan yang ketara. Sekiranya Kerajaan yakin dengan beberapa kajian yang telah dibuat, maka buatlah keputusan demi kebaikan masa depan anak bangsa kita.
|
|
|
| |
| |
| Reader Comments |
 |
16. syed abu bakar
@ 6/29/2009 12:16:00 PM |
| |
| penggunaan dan kefahaman bahasa inggeris adalah penting untuk rakyat malaysia.pendekatan PPSMI mungkin tidak di kuupas sehalusnya arah tuju. rakyat malaysia secara umumnya tidak menolak bahasa inggeris. tajuk perbualan hanya di kisar penggunaan pada matematik dan sains bagaimana pula penggunaan bahasa inggeris untuk kerja seharian. bagaimana untuk kita berkomunikasi dgn bangsa asing jika kita tahu untuk mengguna bahasa inggeris. tidak dapat dinafikan penggunaan bahasa inggeris memepermudahkan segala urusan. kita sebagai rakyat malaysia sendiri harus memertabatkan bahasa melayu itu sendiri, walau pun kita bercakap bahasa melayu tai adakah kita tau penggunaannya betul atau tidak. anak murid bangsa melayu gagal dalam dalam bahasa malaysia adalah kerana kurang kefahaman dalam bahasa melayu itu sendiri kerana kita bnagsa melayu dah tentu kita lebih memahami. PPSMI itu la dia, topik yang tiada penyudah. PPSMi harus jujur, pada pendapat saya PPSMI telah tersilap dalam penyampain, niat tu murni dan saya nampak cuma perlaksanaan itu keliru. bagaimana kita ingin menjawab dalam bahasa inggeris jika penekanan dalam bahasa inggeris itu tidak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh. |
|
 |
| |
15. Yasir Tamizi
@ 6/28/2009 7:08:00 PM |
| |
Negara kita masih kelam kelibut mencari identiti cara mendidik rakyat, sedangkan negara-negara jiran sudah lama berjaya, punya jatidiri bangsa mereka sendiri.
Dulu sedang elok kita memperkasakan Bahasa Kebangsaan, kemudian 2003 patah balik ke belakang ke Bahasa Penjajah. Ini satu dasar kolot dari zaman pemerintahan PM terdahulu, Dr. Mahathir melalui Menteri Pendidikan DS Hishamuddin.
Ini kesilapan besar dan merosakkan anak-anak murid sekarang. Kita wajib kembali ke asal, buang PPSMI dan fokus sistem pendidikan ke arah membentuk jatidiri Malaysia yang kuat berdasarkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
1 Malaysia.
Salam. |
|
 |
| |
14. Nordin
@ 6/24/2009 1:14:00 PM |
| |
PPSMI LAGI???????????
Bahasa Inggeris hanya boleh di kuasai apabila kita menguasai ilmu nahu (grammar). Mempelajari Bahasa Inggeris melalui Sains dan Matematik adalah pendekatan yang tidak tepat.
Saya tidak pernah melihat pelajar lain kecuali anak saya menjawab sains dan matematik dalam bahasa inggeris tetapi saya pasti......... jawapan dalam bahasa inggeris agaknya lintang pukang. (Mungkin pengecualian boleh di berikan kepada pelajar asrama penuh dan sekolah terpilih).
Pertambahan masa mempelajari Bahasa Inggeris dalam masa seminggu hendaklah di tambah. Saya mencadangkan bahawa satu lagi matapelajaran Inggeris bolih di tambah jika kita bersungguh-sunguh untuk menguasai Bahasa Inggeris. Guru yang memang dididik untuk mengajar Bahasa Inggeris sahaja di tauliah untuk mengajar Bahasa Inggeris.
Kementrian juga boleh mengimpot Guru-guru Bahasa Inggeris daripada negara luar kerana mereka sudah pasti akan mengajar 100% didalam Bahasa Inggeris.
Pendekatan yang digunakan sekarang telah menjadikan pelajar yang sebenarnya baik didalam matapelajaran Sains dan Matematik semakin lemah kerana kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris. Perkara ini sangat di rasai oleh pelajar luar bandar.
Apa pun keputusan PPSMI pada masa terdekat ini. SAYA BERPENDAPAT UNTUK MENGUASAI BAHASA INGGERIS ADALAH MELALUI PENDEKATAN MEMPERTINGKATKAN BAHASA INGGERIS SENDIRI DAN BUKANNYA MELALUI MATAPELAJARAN LAIN |
|
 |
| |
13. Khadijah
@ 6/24/2009 12:46:00 PM |
| |
Syukurlah ada orang pandai macam abang Khairy dalam UMNO. Kita mengalu-alukanlah sikap abang Khairy itu meski ya, dapat disorot sebagai terhegeh sedikit. Sebenarnya, lebih cantik kalau waktu Pak Samad kena sembur gas pemedih mata dulu abang Khairy mengeluh begini. Lagi tinggi darjat abang Khairy. Tapi tak apalah. Kira okay juga dari tiada. Sebab kalau abang Khairy langsung diam, kami puak-puak anti PPSMI ini akan berarak lagi sambil menjerit slogan pontianak harum sundal malam: 'Pulangkan...Pulangkan.'
Sekali fikir, mujur juga abang Khairy yang jadi Ketua Pemuda, kalau orang lain yang naik hari itu tak tahulah. Makin terlungkup agaknya lagi bahasa Melayu. Wajarlah 'Perdana Menteri Rakyat' kita menimbang untuk melantik abang Khairy jadi timbalan menteri (paling kuranglah) kerana dalam ramai-ramai pemimpin UMNO yang tidak peduli nasib bangsa, paling tidak abang Khairy menyerlah dan bersikap. Hebatnya, itu abang Khairy lakukan tanpa perlu mencium keris kontot pun. Sukalah hati kita. Untuk jasa baik abang Khairy meski terlambat itu kita ucap terima kasih.
Dalam bahasa PPSMI, untuk membuktikan kami bukan anti bahasa Inggeris, mungkin wajar diucapkan. "Thank you bro, we love you bro." http://www.tehranifaisal.blogspot.com/ |
|
 |
| |
12. Tokey
@ 6/24/2009 9:16:00 AM |
| |
Tahniah pada Y.B kerana berani bersuara dan menongkah arus dalam isu PPSMI.
Buat penyokong-penyokong PPSMI anda semua berhujah tanpa sebarang fakta. Berikan kajian dunia mana, bangsa mana dan negara mana yang maju dengan dasar songsang PPSMI.
Dasar PPSMI samalah seperti negara Filipina, Kenya, Bangla, Pakistan dan benua Afrika. Mana buki kemajuan mereka?
Kenapa begitu naif? Kenapa tidak mengikuti Belanda, Sweden, Finland menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu disamping bahasa inggeris sebagai bahasa ke dua?
Perbaiki kaedah pembelajaran BI bukannya dengan Sains/Maths.
PPSMI, sama dungunya belajar hukum tajwid atau mandi wajib dalam bahasa Arab dari ustaz dari Yaman pada anak-anak seawal 7 tahun. |
|
 |
| |
11. zulaikha
@ 6/24/2009 7:20:00 AM |
| |
yb. kalaulah kita cuma mengagungkan penggunaan bahasa malaysia utk semuanya, kita hanya akan bakal jadi jaguh kampung.. macam katak bawah tempurung.. ini kerana ilmu yg ada diluar kebanyakkannya menggunakan bahasa asing sebagai penghantar/medium. berfikiran terbukalah demi kebaikan bangsa malaysia. cuma saya ingin sarankan.. orang yang tinggal di malaysia diwajibkan menggunakan bahasa malaysia walau apa pun ras keturunannya kerana mereka rakyat malaysia. apapun keputusan PPSMI, kami sebagai rakyat kerdil menerima..CUMA akibat dari keputusan itu akan ditanggung oleh generasi akan datang. |
|
 |
| |
10. nazkam
@ 6/24/2009 5:39:00 AM |
| |
Salam Sdr.
1.Kedudukan geografi harus dinilai: Saya berpendapat kajian 15,089 sampel pelajar dari bandar dan luar bandar itu harus diasingkan dan dinilai berasingan bagi sekolah rendah dan menengah. Ianya mungkin berbeza dimana PPMSI mungkin lebih baik dilaksanakan di bandar-bandar utama (JB,KL,Ipoh,dll). Manakala bagi luar bandar, patut diberi kelonggaran (mungkin bermula di sekolah menegah sahaja).
2. Sumbangan PPMSI terhadap matapelajaran Matematik dan Sains, walaupun rendah tetapi berharga kerana ini adalah subjek kritikal.
3. 75 peratus kerugian terhadap pelajar sekolah rendah seluruh negara yang merosot, juga perlu dinilai sama ada sekolah dari luar bandar atau bandar.(Konsep 80-20)
4. Menambah baik pembelajaran dan pengajaran bahasa tersebut? Bagi saya faktor persekitaran sekolah itu adalah paling penting apabila... a. Kalau kita tanya mengapa sesetengah orang melayu menghantar anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina kerana mahu belajar bahasa Mandarin dan pandai mengira (orang kata). Sekurang-kurangnya dapat bekerja dengan ‘company’ mereka satu hari nanti.
b. Kalau kita tanya mengapa sesetengah orang melayu menghantar anak ke ‘Private School’ kerana mahu anak mereka fasih berbahasa Inggeris kerana bahasa pengantarnya di dalam bahasa Inggeris. Sekurang-kurangnya mudah pergi ke kolej di luar negara dan ke peringkat tertinggi.
c. Kalau kita tanya mengapa sesetengah orang melayu menghantar anak ke Sekolah Agama, kerana mahu memahami bahasa Arab dan ilmu agama. Sekurang-kurangnya mudah memahami ayat Al-Quran ketika membacanya.
5. Atas dasar keterbukaan dalam pendidikan ini, saya berpendapat PPMSI ini harus diteruskan dan dinilai di atas faktor geografi/persekitaran.
(masih lagi berfikir hendak hantar anak di sekolah Putrajaya atau di sekolah Bukit Damansara)
|
|
 |
| |
9. asrul (sitopimerah.blogspot.com)
@ 6/24/2009 4:38:00 AM |
| |
Salam YB, pertama kali saya menyokong tindakan YB sbg KP UMNO walaupun kita berbeza ideologi. Ini bukanlah atas dasar politik tapi jauh dari itu. Ini adalah atas kepentingan dasar Bahasa Kebangsaan itu sendiri. Saya agak tidak menyangka yang mana YB berpendidikan Inggeris tidak menyokong PPSMI. Tahniah dari saya seorang pengkritik YB.
Bahasa Melayu ini tidak terdaulat jika kita tidak mendaulatkannya. Sains dan Teknologi itu tidaklah semaju mana jika bergantung pada bahasa Inggeris, negara yang maju dengan sains dan teknologi itu juga majoriti bukan pengamal atau pendukung Bahasa Inggeris seperti Tun Dr. Mahathir. Ambil contoh Jepun, Korea, Jerman, Rusia, Belanda, Poland dsb. Mereka ini bukan pendukung Bahasa Inggeris. Sains dan Teknologi jauh lebih maju dari England dan US. Cuma US ni byk propaganda yg tunjuk kononnya tamadun mereka lebih hebat. Menggunakan Discovery Science dan Channel. Saya sendiri mengambil Master di Poland dalam bidang Keselamatan Sistem Maklumat. Teknologi keselamatan sistem di Poland adalah jauh lebih maju dari US. Poland adalah negara lahirnya Sistem Operasi Sumber Terbuka paling berdaya maju iaitu Linux.
Negara ini antara yang anti Bahasa Inggeris, saya akui cukup sukar mulanya hidup disana tapi sebagai orang menuntut ilmu kena terima, kena belajar, dan mereka sangat berbangga dengan bahasa mereka apabila saya berusaha bercakap menggunakan bahasa mereka.
Bila kita nak berbangga? Saya pernah berbangga sedikit masa dahulu ada sepanyol beragama Islam belajar di UIA boleh bercakap bahasa Melayu, baru-baru ini saya lihat di UIA tak ramai yang boleh berbahasa Melayu dikalangan pelajar luar negara. Kenapa? sebab pelajar kita sendiri gemar berbahasa Inggeris. Jadi apa gunanya mereka hendak belajar Bahasa Melayu? itu baru sedikit kesannya akan datang biarlah Malaysia tiada identiti bahasa. Kerana kononnya nak maju segalanya dikorbankan. Empayar Melayu Melaka adalah empayar terhebat pada zamannya. Pedagang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Adakah kita tidak mahu sejarah peradaban bangsa Melayu beragama Islam kembali semula?
Hakikatnya adalah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris itu perlu diperkasakan, bukan dikorbankan Bahasa Melayu itu berkembang dalam Sains dan Teknologi.
Sedih melihat bekas PM TDM menyatakan "adakah anda hendak membiarkan orang terjemahkan semuanya kepada anda?" pada pendapat saya apa salahnya Kerajaan menggunakan UKM dan DBP untuk terjemahkan semuanya. Itulah yang dilakukan oleh Jepun, itulah juga yang dilakukan oleh Tamadaun Barat terjemahkan buku sains dan matematik dari Bahasa Arab kepada bahasa mereka. Untuk rakyat mereka, kerana sayangkan rakyat mereka, kerana mereka mengembangkan ilmu itu untuk rakyat mereka, dan bukan disorok sorok serta berbangga bahawa aku seorang tahu!!! Hasilnya bahasa kebangsaan mereka berkembang dan tidak ketinggalan. Berbanding bahasa Melayu kini dah semakin terkebelakang. Kita patut sudah masuk gear 5 menuju negara maju, tapi kita telah tarik gear undur, mengundurkan kereta untuk maju kehadapan. |
|
 |
| |
8. danial
@ 6/24/2009 1:44:00 AM |
| |
| BAgus YB saya pn setuju..klu dah terbukti pelajar sukakan ppsmi teruskan je lah..mana ad kekurangan tu kita perbaiki..kita 'MANTOP'kan lagi agar rakyat malaysia menjadi lebih kompetitif..lagipun yg nk belajar SAINS DAN MATEMATIK adlah pelajar bukannya A. Samad Said ataupn mereka yg menolak ppsmi.. |
|
 |
| |
7. Abang Dzan
@ 6/23/2009 10:52:00 PM |
| |
Salam YB... Permulaannya saya adalah antara peminat karekter YB dari mula dulu lagi. Tahniah kerana menjadi Ketua Pemuda UMNO yang baru. Diharap YB dapat menjadi ketua yang paling hadapan sekali dengan gagah berani mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara aminnn...
Mengenai komen YB dalam memperkatakan kes PPSMI, ini saya kurang amat tidak bersetuju dengan YB. Dapat saya rasakan dan memang tidak dapat dinafikan yang PPSMI ini adalah idea dan pandangan yang terkedepan oleh mantan PM kita (Tun Dr. Mahathir) yang juga negarawan terulung Malaysia. Tetapi bagi saya sebagai rakyat akar umbi ini, YB memang tidak bersetuju kerana ianya datang dari musuh politik YB sendiri. Kenapa baru sekarang bersuara dan tidak sebelum-sebelum ini menentang? Ini yang menjadi persoalannya. Kena fikirkan sendiri. Rakyat dapat baca semuanya ini... (maafkan saya jika terkasar bahasa)
Logiknya PPSMI ini jika dirujuk mengenai komen Tun Mahathir, dari segi positifnya untuk jangka masa panjang. Tanam padi hari ini takkan berbuah besoknya. Memang akan ada yang menjadi penghalang jika tidak dijaga dengan seeloknya. Jangan hanya jika di ganggu oleh seekor dua tikus atau ulat, maka kita terus hapuskan semua padi tersebut.
Memang betul hujjah yang diutarakan oleh Tun, jika hendak menjadi bangsa yang maju, kita kena kuasai dahulu ilmu yang baik dari bangsa yang lain.Zaman sekarang barat adalah peneraju kemajuan. Kita kena ambil ilmu mereka untuk kebaikkan. Dengan cara apa? Bahasa mereka yakni bahasa Inggeris.
YB sendiri sedia maklum yang YB adalah lulusan dari luar negara. Jika YB tidak tahu bahasa Inggeris, adalah MUSTAHIL YB berada seperti sekarang ini. Jangan jadikan permusuhan dalam politik untuk kita merencatkan usaha yang murni tersebut. Jangan sekali-kali tunduk dengan usaha luar yang sememangnya hendak melihat bangsa Melayu itu terus layu dan lesu. Bangsa lain berlumba untuk maju tapi bangsa Melayu bertegang leher untuk berlumba-lumba menjadi bangsa yang ketinggalan.
Barat dulu pun terpaksa belajar bahasa arab untuk mendapatkan ilmu. Selepas itu bila sudah menguasai dan mengekspoitasikannya, maka bangsa arab dan Islam terpaksa belajar balik ilmu yang pernah mereka cipta sendiri sebelum itu.
Saya pasti orang yang banyak ilmu seperti YB memang sedia maklum.
Saya tidak mahu menerang secara panjang lebar tapi sebagai ketua pemuda UMNO dan BN dan wakil orang muda negara Malaysia, RASIONAL lah... BERFIKIR lah... demi survival anak bangsa kita. |
|
 |
| |
6. tun faisal
@ 6/23/2009 6:28:00 PM |
| |
Dari cara beberapa siri kenyataan dibuat, siri pertemuan dengan pihak tertentu dan `ketenangan yang begitu luar biasa' para penentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), saya berpandangan ada kemungkinan kerajaan tidak akan mempertahankan PPSMI. Ditambah pula dengan dua orang Timbalan Menteri Pelajaran yang sejak dahulu lagi diketahui umum tidak menyokong PPSMI ini, kemungkinan besar, dasar yang telah dilaksanakan sejak 7 tahun yang lalu tidak dapat dipertahankan!
Saya sebenarnya tidak begitu peduli dengan apa saja keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tentang PPSMI. Bagaimanapun saya berharap ia dibuat atas alasan yang betul. Janganlah keputusan dibuat berdasarkan hujah yang tidak rasional dan emosional di luar batasan tradisi ilmu; penipuan dan manipulasi data dan kesimpulan kajian; ugutan politik dan perilaku tidak rasional di jalanan. Buatlah keputusan yang betul atas sebab pendidikan, bukan atas pendirian politik.Pada waktu yang sama, saya menghormati para pejuang bahasa yang berjuang dengan cara bekerja keras memartabat dan memperkasa bahasa Melayu; yang faham tentang pentingnya disemarakkan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; yang faham bahawa banyak yang perlu dilaksanakan untuk memperkasa bahasa Melayu bukan setakat bercakap, berslogan dan bersorak semata-mata; yang faham bahawa perjuangan bangsa perlu diutamakan kerana daripada bangsa baru wujudnya bahasa; yang berhujah dengan rasional dan di dalam lingkungan tradisi ilmu; yang kenal yang mana musuh bahasa dan yang mana satu hantu raya yang pandai mengambil kesempatan semata-mata.
Kalau yang berhujah secara emosional di luar batasan tradisi ilmu; yang berhujah dengan kasar; yang menipu dan memanipulasi data kajian; yang mengugut dan membentak; yang keliru tentang yang mana lebih utama bahasa atau bangsa; yang bersikap double standard dan berkompromi dengan puak yang mengenalkan papan tanda pelbagai bahasa; yang merendah-rendahkan perjuangan murni memartabat bahasa Melayu menjadi perilaku tidak rasional di jalanan; itu bukan Pejuang Bahasa. Itu mungkin Samseng Bahasa.
Kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disokong timbalan-timbalannya mengenai penolakan kabinet terhadap dapatan meja bulat PPSMI mengundang pelbagai persoalan. Sewajarnya penolakan ini disusuli dengan penjelasan kenapa dapatan ini ditolak. Adakah ditolak sebahagiannya atau sepenuhnya? Jika ditolak sepenuhnya, maka siri meja bulat PPSMI sebanyak lima pusingan hanyalah kegiatan yang membuang masa dan wang pembayar cukai.
Bagi memastikan agar persoalan ini tidak menjadi isu berlarutan dan agar keputusan mengenai PPSMI ini dibuat atas alasan yang betul maka saya suka meminta sekali lagi agar setiap kajian yang pernah dibentangkan di dalam persidangan meja bulat PPSMI didedahkan kepada rakyat dan dimuat turun ke dalam domain awam supaya semua pihak boleh mengkaji serta meneliti setiap kajian tersebut.
Antara laporan yang pernah dibentangkan di dalam persidangan meja bulat PPSMI sebelum ini adalah Laporan Program Pemantauan dan Penilaian Pelaksanaan PPSMI 2008-2010, Penguasaan BI dalam kalangan guru, yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pada tahun 2008, Kajian Penilaian Pelaksanaan PPSMI oleh Bahagian Perancangan dan Pembangunan Dasar Pendidikan (BPPDP) pada tahun 2006, Dapatan Pemantauan dan Bimbingan Kolaboratif Pelaksanaan Program PPSMI dari tahun 2003 hingga 2008 oleh Jemaah Nazir Sekolah (JNS) pada tahun 2008, Ujian Diagnostik (UD) oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, pada tahun 2007 (jika boleh sejak 2006 sehingga 2008), Kajian Status Pencapaian Murid Dalam Matapelajaran Sains, Matematik dan BI di bawah Program PPSMI (Tahun 5, 2007) dan Kajian Trend Pencapaian Murid Dalam Matapelajaran Sains, Matematik dan BI di bawah program sebelum PPSMI (Tahun 5,2006) oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK). Kajian Status Pencapaian Murid Dalam Mata Pelajaran Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan dan Sains Tambahan (Tingkatan 5) dan Sains, Matematik dan BI (Tahun 5 dan Tingkatan 5) oleh BPK, Analisis Pencapaian Murid berdasarkan UPSR, dan Analisis Keputusan Peperiksaan PMR dan SPM, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta laporan Pemantauan JNS 2005 sehingga 2007. Selain kajian yang dilaksanakan oleh KPM, saya juga mengalu-alukan agar kajian oleh Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan pihak-pihak lain, termasuk kajian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan PEMBINA dimasukkan ke dalam domain yang sama.
Bagaimanapun saya mencadangkan agar KPM tidak sekadar meletakkan kesimpulan kajian di domain ini kerana pendekatan ini boleh mendorong kekeliruan dan salah tanggap. Sebaliknya KPM wajar memasukkan juga semua maklumat lain seperti pemilihan sampel dan saiznya, instrumen kajian dan dapatan penuh setiap kajian. Ini penting bagi membolehkan pembaca faham akan kekuatan sesuatu kajian dan bagaimana seseorang penyelidik menyimpulkan dapatan-dapatan kajian mereka.
Satu perkara yang pasti, walaupun ada pihak yang cuba menggambarkan kajian UPSI dan PEMBINA ini sebagai kajian yang bebas atau kajian pihak ketiga, namun bolehkah pandangan ini diterima sekiranya kita menyedari bahawa kebanyakan mereka yang terlibat dalam kajian ini diketahui umum sebagai penentang dasar PPSMI sejak ia mula diperkenalkan lagi? Jika ini realitinya, maka kenyataan bahawa kajian mereka bersifat BEBAS adalah OVERSTATEMENT. |
|
 |
| |
5. Ahmad Nazrul
@ 6/23/2009 5:13:00 PM |
| |
| saya setuju dengan saranan yb...sepatutnya inilah yg perlu dilakukan oleh kepimpinan negara...memperkasakan bahasa inggeris melalui pembelajaran bahasa itu sendiri bukan dengan mengajar sains dan matematik in english..semoga kerajaan dapat membuat keputusan yg tepat...mansuhkan PPSMI dan pada masa yg sama perkasakan lagi bahasa inggeris melalui meduim yg sedia ada.. |
|
 |
| |
4. samson
@ 6/23/2009 4:23:00 PM |
| |
dasar yang bagus spt ini akan dibuang kerana kementerian pendidikan tidak pandai mengatur program untuk meningkatkan pengetahuan bahasa inggeris cikgu sains dan matematik setelah lebih 7 tahun ppmsi dijalankan?
jangan salah bagi ubat kpd penyakit. penyakitnya bukan ppmsi tapi proses merekayasakan program tersebut. kalau dasar dibuat bagai melepaskan batuk ditangga, dan dibantutkan pula oleh gologan pelampau bahasa ibunda seperti dong zong, GMP etc, sampai bila pun negara takkan maju.
YB sendiri pun belajar bahasa inggeris di sekolah/universiti sebagai pengantar utama. adakah luntur semangat cintakan bahasa malaysia YB? tentu tidak bukan? Malah oleh kerana YB pandai berbahasa inggeris dan senang mengerti ertikata ertikata sains dan matematik (oleh itu dgn mudah mentelaah buku-buku sains, falsafah, idealogy etc) dalam bahasa inggeris telah memudahkan YB menerajui corak pemikiran dan kualiti kepimpinan yang perkasa.
pemuda Umno mesti mengambil langkah berhati2 yakni, dasar yang baik tak semestinya dibuang. Proses implementasi mungkin tidak sempurna menyebabkan dasar terebut pincang. Pembina juga mempunyai agenda tertentu. |
|
 |
| |
3. Dr Ramasamy
@ 6/23/2009 4:08:00 PM |
| |
| TS Muhyiddin should honour his promise of PPSMI decision by July. |
|
 |
| |
2. Haji Hussein
@ 6/23/2009 4:06:00 PM |
| |
| Bagus YB. Saya sokong. Kalau nak elokkan BI, improvekanlah pengajaran dan pembelajaran BI. Bukannya rojakkan dengan Sains dan Matematik |
|
 |
| |
1. Shafiroy
@ 6/23/2009 4:05:00 PM |
| |
Saya setuju dengan saranan Pemuda UMNO agar para pelajar kita tidak diperkotak-katikkan umpama tikus tabung uji bagi dasar yang telah didapati secara saintifiknya tidak berkesan malahan bersifat regressive kepada minat dan pencapaian pelajar bagi, bukan sahaja Bahasa Inggeris, tetapi kepada ketiga-tiga subjek berkenaaan.
Sekiranya Kerajaan masih terus berlengah, ini adalah satu dosa besar yang tidak terampun kerana ia melibatkan masa depan anak-anak dan pembentukan minat mereka. Mungkin ada anak-anak orang kampung dari kawasan pendalaman, yang minat samaada Sains atau Matematik tetapi terasa terbantut atau terencat akibat kekangan komunikasi. Akibatnya, bukan sahaja subjek tersebut menjadi asing baginya, akibat di ajar di dalam bahasa asing - pada tahap awal pembelajaran, bahkan mungkin ia menjadi begitu pasif atau membenci subjek tersebut.
Akhbar The Star ada membuat kajian dan mendapati bahawa ramai pelajar menyukai PPSMI, begitu juga dengan Malaysiakini. Tetapi saya tidak yakin bahawa sampel mereka se-representatif dan se-komprehensif sampel kajian Pembina. |
|
 |
| |
|
|
 |
 |
|
|