August 20, 2009
H1N1 - Langkah Drastik
Perkembangan mutakhir mengenai penularan wabak virus influenza A H1N1 semakin kronik dan membimbangkan dengan laporan terkini yang merekodkan kadar jangkitan tertinggi harian seramai 569 pada hari ini, yang menjadikan kes terkumpul melebihi lima ribu dan kematian seramai 68 orang.

Sehubungan dengan ini, saya menyeru pihak Kerajaan mengambil langkah drastik dengan mengisytihar dan mengeluarkan arahan berkurung dan penutupan premis pejabat, pusat perniagaan dan tempat awam bagi menangani penularan mendadak wabak ini, disamping arahan darurat kesihatan yang telah dibuat pada 17 Ogos lepas. Tindakan ini perlu dilakukan dengan segera.

Langkah tersebut amat penting memandangkan kadar kematian bagi jangkitan di Malaysia, sebelum paras kenaikan mendadak hari ini, adalah yang kelima tertinggi (bagi jangkitan melebihi 1,000 kes) di dunia selepas Brazil, Argentina, Ecuador dan El Salvador dengan kadar kematian setinggi 1.59 peratus, melebihi kadar purata dunia iaitu 1.04 peratus, berdasarkan Flucount.Org, dan jauh melebihi penanda aras kecemasan yang telah dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan iaitu 0.4 peratus kematian daripada kes jangkitan.

Perlu dingatkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) baru-baru ini  juga telah memberi amaran akan kemungkinan penularan wabak virus influenza A H1N1 ke tahap 20 hingga 30 peratus di Malaysia, atau diantara 5.6 juta hingga 8.5 juta orang, sekiranya orang ramai bersikap sambil lewa dan tidak mengambil serius langkah pencegahan penyakit tersebut. Arahan berkurung dan menutup premis ini amat penting apatah lagi bila fenomena H1N1 ini dijangka berlarutan dalam tempuh satu atau setahun setengah lagi dan diramal akan menular lebih cepat pada musim tengkujuh iaitu antara bulan Oktober hingga Disember ini.

Disamping itu, Professor Dr Adeeba Kamarulzaman, Ketua Unit Penyakit Berjangkit daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya menjangkakan kadar kematian akibat virus akan menjadi semakin tinggi akibat gangguan jerebu dan mutasi yang membuatkan virus menjadi kebal daripada ubat yang diberikan sekarang ini. Malahan, kita perlu juga mengambil kira akan ketiadaan vaksin pencegahan wabak virus influenza A H1N1 di dunia sehingga pertengahan tahun depan.

Dari segi perbandingan luar negara, Mexico, contohnya telah mengambil langkah serius dengan menutup muzium, sekolah dan membatalkan acara sukan. Langkah yang drastik ini hendaklah diambil sebagai satu isyarat bagi menyedarkan masyarakat akan kronik dan seriusnya wabak ini dan kepentingan langkah-langkah pencegahan, terutama apabila masyarakat umum masih lagi tidak mengambil berat tentang aspek pencegahan dan kebersihan diri.
 
 
 
Reader Comments
Add your comments
Name
Email
Can not see the image? Click to refresh
Security Code
.
 
Subscribe to RSS
 
ARCHIVED POSTS
.
July 2010 (6)
June 2010 (7)
May 2010 (1)
April 2010 (2)
March 2010 (1)
February 2010 (4)
January 2010 (6)
Year 2009
Year 2008