Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ("Pemuda UMNO") mengucapkan terima kasih di atas kesudian YB Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Y.B. Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, serta barisan pegawai dari Kementerian yang telah hadir bagi sessi penerangan dan dialog rentetan daripada pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.
Pemuda UMNO mengambil maklum akan rasional pengurangan subsidi gula bagi mengurangkan beban tanggungan defisit Kerajaan yang dijangka meningkat sehingga RM1.26 bilion sekiranya kadar subsidi dikekalkan. Pemuda UMNO juga dimaklumkan bahawa Kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.0 bilion pada tahun ini biarpun selepas pengurangan subdisi sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram gula.
Sungguhpun demikian, Pemuda UMNO ingin menyatakan bahawa berdasarkan kepada kajian perbelanjaan isi rumah 2004/2005 oleh Jabatan Perangkaan Negara, perbelanjaan bagi makanan dan minuman bukan alkohol, yang meliputi keperluan seperti beras, gula, ayam dan sebagainya, bagi seluruh rakyat Malaysia secara puratanya adalah dalam lingkungan 31 peratus daripada pendapatan mereka. Namun, beban perbelanjaan bagi golongan berpendapatan rendah adalah berkali-ganda daripada mereka yang berpendapatan tinggi. Sebagai contoh, kadar pecahan perbelanjaan bagi makanan dan minuman bagi golongan yang berpendapatan dari yang berpendapatan kurang dari RM500 pula adalah setinggi 39 peratus berbanding pula bagi golongan yang berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan yang hanya membelanjakan 9 peratus daripada pendapatan mereka. Disamping itu jia dilihat kepada peratus perbelanjaan khusus bagi barangan manisan seperti gula, madu, jem dan coklat pula – beban golongan yang berpendaran kurang dari RM500 sebulan adalah 5 kali ganda berbanding mereka yang berpendapatan melebihi RM5,000.
Ini menunjukkan bahawa impak kepada golongan berpendapatan rendah adalah lebih tinggi.
Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO mengesyorkan agar anggaran penjimatan sebanyak RM260 juta ekoran pengurangan subsidi gula tersebut diurus dan diagihkan melalui mekanisme yang telus bagi membantu keperluan dan kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah. Pemuda UMNO berpendapat sebarang pengurangan subsidi yang bersifat umum hendaklah dikembarkan dengan mekanisme pakej pampasan atau bantuan yang khusus kepada golongan yang memerlukan.
Disamping itu, Pemuda UMNO juga menggesa agar pihak Kementerian dapat meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terutama bagi mengelakkan kenaikan harga barang yang melampau dan kegiatan penyeludupan barangan.
Selaras dengan tema Juara Rakyat, Pemuda UMNO dengan ini menawarkan khidmat membantu Kerajaan di dalam usaha memantau kenaikan harga barang dan juga penyeludupan. Pemuda UMNO juga bersedia membantu sebagai agen penyelaras bagi bantuan khusus daripada dana penjimatan subsidi gula untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah.
DISAMPING ITU, Pemuda UMNO juga memandang serius cadangan penstrukturan semula subsidi petrol yang akan berkuatkuasa pada 1 Mei 2010.
Pemuda UMNO menyokong penuh prinsip memastikan hanya golongan sasar yang layak sahaja patut dibenarkan membeli petrol dengan harga subsidi. Ini agar Kerajaan dapat lebih banyak berbelanja untuk pembangunan yang menguntungkan rakyat, disamping mengurangkan gangguan atau “distortion” pasaran. Kami percaya faktor-faktor inilah yang mendorong Kerajaan menjalankan langkah penstrukturan semula ini, di golongan bukan warganegara Malaysia tidak boleh lagi mendapat subsidi petrol, dan rakyat Malaysia pula akan boleh membeli petrol pada harga berbeza bergantung kepada beberapa faktor seperti kapasiti enjin kenderaan dan kedudukan sosioekonomi mereka.
Namun, setelah mendengar pandangan dari akar umbi dan orang awam, Pemuda UMNO berasa terpanggil menyuarakan beberapa kekhuatiran mengenai mekanisme yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna pada 7 Januari 2010. Kekhuatiran kami adalah berunsur persoalan sama ada mekanisme tersebut dapat dilaksanakan dengan praktikal, supaya objektif murni yang menjadi batu asas kepada langkah penstrukturan semula ini akan tercapai.
Pemuda UMNO mengambil maklum bahawa tidak semua butiran mengenai langkah ini telah diumumkan, tetapi berharap agar Kerajaan dapat memberi perhatian serta maklum balas kepada perkara-perkara yang menimbulkan rasa khuatir dari pihak kami, seperti yang diterangkan di bawah.
1) Pemuda UMNO percaya bahawa adalah kurang tepat serta tidak adil untuk mengukur kemampuan ekonomi seseorang berlandaskan kapasiti enjin kenderaannya. Malah, sebuah kenderaan dengan enjin kapasiti tinggi tidak bermakna ia sebuah kenderaan yang mahal. Terdapat banyak contoh di mana kenderaan mewah mempunyai kapasiti enjin yang lebih rendah daripada kenderaan lama yang dijual semula pada harga rendah. Maka, Pemuda UMNO khuatir bahawa langkah ini akhirnya boleh mengeruhkan lagi masalah agihan perbelanjaan Kerajaan.
2) Kami sedar akan kemungkinan seorang yang memiliki beberapa kenderaan boleh mengisi petrol menggunakan kenderaan berkapasiti enjin rendah dan kemudiannya memindahkan petrol itu kepada kenderaan berkapasiti enjin tinggi, yang sepatutnya tidak layak untuk mendapat bantuan subsidi petrol.
3) Kami sedar akan kemungkinan bahawa sistem harga dua peringkat ini boleh membawa kepada penjualan semula petrol dari satu individu kepada individu lain, sekaligus mewujudkan pasaran gelap.
4) Kami sedar akan kemungkinan bahawa pemilik sebuah kenderaan, yang sepatutnya tidak layak mendapat bantuan subsidi, boleh meminta seorang individu lain – misalnya seorang pemandu yang bekerja dengannya – untuk mengisi petrol bagi pihak pemilik pada harga yang lebih rendah.
5) Terdapat ramai individu yang memiliki serta menggunakan kenderaan yang didaftarkan atas nama individu lain, maka ada kemungkinan individu yang layak tidak mendapat bantuan subsidi dan sebaliknya.
Bagi memastikan bahawa kebajikan rakyat terpelihara, Pemuda UMNO ingin mengetahui apa langkah Kerajaan bagi memastikan bahawa masalah-masalah ini dapat dibendung.
Apapun, Pemuda UMNO memahami betapa sukarnya sebarang penstrukturan semula pada skala seperti ini, dan juga sedar bahawa tiada cadangan yang akan sempurna tanpa sebarang kecacatan. Oleh itu, Pemuda UMNO akan terus meneliti perkara ini dengan lebih mendalam agar kami dapat membantu dalam mencari jalan terbaik bagi mekanisme subsidi petrol yang efisien serta adil kepada rakyat, sejajar dengan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.